JBPM isi kekosongan jawatan pegawai tetap, bomba bantuan

Iklan
Nor Hisham menyampaikan surat tauliah kepada pegawai bomba bantuan yang berjaya menamatkan latihan pada Majlis Penutup dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Siri 1/2021 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini pada Rabu.

KUANTAN - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan pengambilan baharu pegawai tetap dan pegawai bomba bantuan (PBB) bagi mengisi kekosongan jawatan seluruh negara.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ketika ini terdapat kira-kira 10 peratus kekosongan pegawai tetap dan juga 10 peratus kekosongan untuk PBB.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengambilan untuk pegawai tetap pelbagai gred sudah dilaksanakan dan dijangka mula memasuki pusat latihan pada Januari 2022.

"Pada masa sama, setiap negeri juga memohon dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pengambilan PBB yang kini mempunyai 200 kekosongan perjawatan dalam pasukan itu.

Iklan

"Ketika ini, empat negeri melaksanakan pengambilan anggota pasukan bomba bantuan iaitu Sarawak, Pahang, Perak dan Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup dan Pentauliahan Pegawai Bomba Bantuan (PBB)Siri 1/2021 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota di sini pada Rabu.

Iklan

Hadir sama, Pengarah JBPM Pahang, Ir Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Nor Hisham berkata, kombinasi kekosongan bagi dua perjawatan itu menyebabkan pengurusan balai terjejas memandangkan pegawai dan anggota sedia ada terpaksa melaksanakan kerja tambahan berhubung penularan Covid-19 termasuk kerja-kerja sanitasi, disinfeksi dan penugasan di pusat rawatan Covid-19.

"Selain itu, bomba juga mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalaman di mana jika berlaku penularan kita terpaksa hentikan operasi untuk syif terlibat.

"Keadaan itu mewujudkan lompang dalam pasukan untuk melaksanakan operasi dengan lebih berkesan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, JBPM turut melaksanakan penjajaran dengan menyusun semula keanggotaan di balai-balai bomba seluruh negara bermula awal tahun ini.

Menurutnya, penyusunan semula keanggotaan itu mengambil kira faktor risiko yang ada dalam kawasan terlibat berdasarkan 18 indikator ditetapkan.

"Melalui kaedah ini, ada balai ditambah keanggotaannya dan ada juga balai yang dikurangkan bilangan anggota.

"Di Pahang, kita telah kenal pasti sembilan balai yang perlu ditambah perjawatan PBB di mana 29 pegawai yang ditauliahkan hari ini akan mengisi kekosongan di balai-balai berkenaan," katanya.

Katanya, setakat ini terdapat 2,134 PBB di balai bomba seluruh negara.

"Pihak Jabatan mempertimbangkan untuk meningkatkan syarat kelayakan dalam pengambilan PBB supaya mereka yang berpotensi dapat diserap masuk dalam pasukan tetap," katanya.