PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru semua agensi kerajaan dan swasta agar bersama-sama mewujudkan persekitaran seimbang dalam pelbagai aspek ke arah kesejahteraan wanita.
KPWKM dalam kenyataan berkata, bertepatan dengan tema sambutan Hari Wanita Sedunia hari ini iaitu"Seimbang Untuk Sejahtera", komitmen penuh juga perlu diberikan dalam usaha meningkatkan peluang dan penyertaan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.
"Ini kerana wanita yang sejahtera menjadi tunggak kepada pembentukan institusi keluarga yang bahagia, penyayang dan pemangkin kepada kemajuan negara.
"Segala inisiatif akan dikaji semula dan ditambah baik serta pelbagai inisiatif baharu akan dilaksanakan yang melibatkan kumpulan sasar secara meluas," katanya.
Selain meningkatkan penyertaan wanita dalam pelbagai bidang, katanya tema sambutan tahun ini juga menekankan kepentingan untuk mengarusperdanakan gender dalam aspek perancangan dan pembangunan bagi memberi peluang yang lebih besar kepada wanita mencapai potensi yang optimum.
Menurutnya sejajar dengan tema itu, KPWKM sebagai peneraju kepada pembangunan wanita juga telah menyediakan pelbagai platform untuk memperkasakan wanita.
Katanya antara perancangan kementerian pada tahun ini ialah menambah baik dan memperhalusi polisi perundangan dan program sedia ada merangkumi pembaharuan Dasar Wanita Negara dan penggubalan Rang Undang-undang Gangguan Seksual.
Selain itu, katanya program keusahawanan juga akan dilaksanakan terutamanya untuk kumpulan wanita berpendapatan terendah B40 serta memperluaskan program kesejahteraan wanita di bawah inisiatif i-Suri yang telah dilancarkan pada tahun lepas.
Dalam pada itu, bagi sambutan Hari Wanita tahun ini, kementerian melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah merangka beberapa program antaranya Hype Event bersama Syanie (walkabout bersama Syanie) serta ‘pocket talk’ dengan topik Mental Health Awareness"Balance for Better" dan"Finding your Balance".
Selain itu, katanya Persidangan Meja Bulat"Wanita Pemangkin Transformasi" akan turut diadakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Forum Menangani Gangguan Seksual dan Keganasan Rumah Tangga oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), ‘pocket talk’ oleh Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dengan topik"Wanita dan Keselamatan Jalan Raya" serta"Wanita Banteras Dadah" oleh pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). - Bernama