KUALA LUMPUR - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tidak pernah terlibat dalam memberikan latihan, justeru cadangan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 tidak akan menjadikan jabatan itu sebagai pihak pemberi latihan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, JKKP yang merupakan agensi penguatkuasaan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan hanya memberi ceramah sebagai menjalankan khidmat nasihat serta promosi berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Selain itu, bagi memastikan pekerja menerima kursus latihan seperti dinyatakan dalam Fasal 31 rang undang-undang itu, beliau berkata JKKP akan mengawal selia penyediaan latihan yang berdaftar dengan ketua pengarah jabatan itu.
"Ini penting bagi memastikan kualiti latihan dan perkhidmatan penyedia latihan berada pada standard yang ditetapkan dari segi modul, tenaga pengajar dan fasiliti,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 di dalam persidangan Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Fasal 31 rang undang-undang itu bertujuan memasukkan seksyen baharu 31A berhubung kuasa menteri untuk membuat perintah yang disiarkan dalam warta bagi mengkehendaki mana-mana kelas atau perihal orang untuk menghadiri kursus keselamatan dan kesihatan pekerjaan dengan penyedia latihan berdaftar di bawah akta.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, dari Januari hingga Ogos tahun ini, JKKP melaksanakan 180,000 aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara dengan 138 kes pendakwaan selesai dijalankan melibatkan penalti RM1.56 juta.
Rang Undang-Undang Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2020 bukan sahaja untuk menambah baik aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja tetapi juga melindungi seseorang terhadap risiko keselamatan dan kesihatan berkaitan aktiviti orang yang sedang bekerja.
Rang undang-undang itu adalah untuk meminda Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang mengandungi 55 fasal merangkumi penambahan 27 seksyen baharu, pengguguran dua seksyen dan pindaan terhadap 35 seksyen sedia ada.
Ia kemudiannya diluluskan dengan majoriti ahli Dewan Rakyat bersetuju selepas 14 ahli Parlimen membahaskannya, termasuk Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) yang mencadangkan kerajaan memberikan penghargaan dan pengiktirafan seperti pelepasan cukai atau insentif kewangan kepada majikan atau syarikat yang memenuhi kriteria penjagaan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.
"Ini sebagai satu langkah mendorong mereka untuk mematuhi peruntukan undang-undang dalam akta itu serta manifestasi bahawa kerajaan sangat serius dalam hal ini, dan majikan yang tidak patuh kita kenakan denda seperti yang dicadangkan dalam akta ini,” katanya.
Selain itu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2020 yang turut dibentangkan oleh Saravanan bagi memansuhkan Akta Kilang dan Jentera 1967 (Akta 139).
Persidangan Dewan Rakyat bersambung Khamis. - Bernama