IPOH - Polis digesa menyiasat pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung kenyataannya bahawa ‘orang Melayu dijadikan merasa seperti pelawat di negara sendiri kerana terlalu banyak penumpang di Parlimen dan kerajaan ini tidak memandang Melayu dan Islam.’
Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin berkata, kenyataan Mohamad itu nyata berbaur hasutan dan akan menimbulkan kebencian kaum dan seterusnya mengancam ketenteraman di negara ini.
"Perkataan penumpang dan pelawat tak wajar digunakan setelah kita merdeka selama 62 tahun. Kita semua rakyat Malaysia. Lahir di sini, membesar di sini dan mati pun di sini. Kita rasa perkataan ini akan timbulkan kebencian kaum yang lain dan seterusnya mengancam ketenteraman awam.
"Selain itu kita cabar MCA dan MIC yang kononnya nak bubarkan BN. Apakah mereka beranai buat laporan polis terhadap pemangku Presiden UMNO ini?,” katanya selepas membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.
Sementara itu, di Teluk Intan satu laporan polis turut dibuat terhadap Mohamad berkaitan isu sama oleh pimpinan Parlimen Teluk Intan di IPD Hilir Perak, pagi tadi.
Laporan polis oleh ahli jawatankuasa Pemuda Sosialis (DAPSY) Kebangsaaan, Woh Kah Leong itu menuntut polis menyiasat sama ada ucapan dibuat Mohamad melanggar Seksyen 504 di bawah Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan.
"Kami menolak budaya perkauman UMNO-BN yang memecahbelahkan keamanan rakyat Malaysia," katanya.