KEPALA BATAS - Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Datuk Muhamad Yusoff pada Rabu menyerahkan bantahan berhubung cadangan pelan induk pembangunan tebus guna tanah dari Bagan Ajam hingga Teluk Air Tawar untuk tujuan pembangunan bercampur oleh sebuah syarikat Rayston Consortium (Butterworth) Sdn Bhd (RCSB) bernilai RM2 bilion.
Muhamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Dua dan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor berkata, projek yang dicadangkan melibatkan penambakan tanah seluas 407 hektar di kawasan laut dan pantai Bagan Ajam itu akan memberi pelbagai kesan kepada sosioekonomi dan alam sekitar di situ.
"Saya telah meneliti paparan umum Ringkasan Eksekutif laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) projek itu dan hasil perbincangan dengan penduduk di kawasan terlibat bersama 20,701 ahli UMNO Tasek Gelugor berpendapat projek tersebut tidak patut diteruskan.
"Sebab itu saya datang ke Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang bagi menyerahkan surat bantahan berhubung projek tersebut supaya JAS dapat pertimbangkan untuk membatalkan projek berkenaan kerana ia memberi kesan kepada nelayan, penduduk dan Pangkalan Udara Butterworth yang terdapat di situ," katanya kepada pemberita di sini selepas menyerahkan surat bantahan kepada Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab.
EIA telah dikemukakan kepada JAS untuk kelulusan kepada pemaju RCSB dan ia dipamerkan kepada umum selama sebulan dengan Rabu (27 Oktober 2021) merupakan hari terakhir untuk orang ramai mengemukakan sebarang maklum balas atau bantahan terhadap projek itu.
Mengulas lanjut, Muhamad berkata, projek itu pada mulanya dirancang pada tahun 1999 tetapi ia ditangguhkan sehingga perjanjian kedua untuk penambakan laut ditandatangani antara kerajaan Pulau Pinang dan RCSB pada 2018.
Katanya, ketika ini tiada masalah kekurangan tanah di kawasan Seberang Perai Utara jadi tidak ada keperluan mendesak untuk menambak tanah di kawasan laut bagi mewujudkan lebih banyak tanah untuk menjalankan pembangunan.
"Mengikut Rancangan Tempatan Seberang Perai, Majlis Bandaraya Pulau Pinang telah merancang pelan pembangunan keseluruhan bagi tanah sedia ada memandangkan masih banyak tanah di daerah SPU jadi tidak perlu membelanjakan sehingga RM2 bilion untuk menebus semula tanah di kawasan pesisir pantai,” katanya.
Beliau berkata, projek pembangunan bercampur dirancang untuk tebus guna tanah dan ini termasuk bangunan komersial, kediaman yang akan dijual dengan harga yang mahal dan bangunan tinggi yang akan mengancam keselamatan Pangkalan Tentera Udara Butterworth yang beroperasi sejak tahun 1941.
Menurutnya, projek itu yang dicadangkan melibatkan penambakan kira-kira 41 juta tan metrik pasir dan 680,000 tan metrik batu ke dalam laut itu boleh menyebabkan banjir kilat terutama ketika air pasang dan hujan lebat manakala dari segi alam sekitar ia boleh memusnahkan ekosistem bakau di sekitar Telok Air Tawar sehingga Kuala Muda dan menjejaskan habitat lebih 120 spesies burung migrasi.
Sementara itu, Sharifah Zakiah berkata, JAS akan mengambil kira semua maklum balas dan bantahan berhubung EIA projek itu sebelum sebarang keputusan dibuat. - Bernama