KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian model warga Belgium, Ivana Esther Robert Smit yang maut terjatuh dari sebuah unit Kondominium CapSquare Residences di Dang Wangi, awal Disember dua tahun lalu sebagai satu misadventure (kematian akibat nahas).
Koroner Mahyon Talib ketika membacakan keputusan berkata, tiada individu terlibat malah tidak terdapat sebarang perbuatan jenayah membabitkan kes berkenaan.
"Berdasarkan keterangan saksi–saksi, mahkamah mendapati di atas imbangan kebarangkalian si mati menemui ajalnya akibat jatuh dari tempat tinggi,"katanya.
Menurut Mahyon, Ivana Esther mati antara jam 6.50 pagi dan 2 petang pada 7 Disember 2017 yang mayatnya ditemui di tengah longgokan serpihan runtuhan di Balkoni Tingkat 6, Kondominium Caps Square, Kuala Lumpur.
Beliau juga bersetuju dengan Dr Frank Van De Goot (saksi) di mana kematian berlaku sebelum mayat ditemui di balkoni (unit) tingkat enam dan mayat mula mengalami kekejungan kira-kira jam sepuluh atau sebelas pada hari kejadian.
"Tanda cengakaman lengan, trauma belakang kepala, botol pecah dan Asid Deosiribonukleik (DNA) Alex Johnson di bawah kuku Ivana Esther, mahkamah mencadangkan terdapat beberapa pergelutan atau perkelahian berlaku antara Alex Johnson, Ivana Esther dan Luna Almaz.
"Mahkamah juga tidak mengetahui apa sebenarnya berlaku antara (ketiga-tiga)mereka. Justeru mahkamah memutuskan kematian Ivana Esther sebagai ‘misadventure’,” katanya.
Turut hadir di mahkamah hari ini ialah Karin Mossenlechner, Duta Belanda ke Malaysia dan Gerard van Heerwaarde, pegawai perhubungan polis Belanda bagi Malaysia dan rantau ini.
Prosiding inkues yang bermula pada 8 Ogos tahun lalu itu dikendalikan Pegawai Pengendali Kes, N Joy Jothi dengan memanggil 22 saksi manakala keluarga si mati diwakili peguam Sankara Nair.
Misadventures adalah kematian disebabkan kemalangan melalui perlakuan yang tidak melanggar undang-undang tanpa niat untuk menyebabkan sebarang kecelakaan.
Mahkamah koroner diwujudkan bagi menjalankan sesuatu siasatan bagi menyelidik bila, di mana, bagaimana dan caranya si mati itu menemui ajalnya serta mengenalpasti sama ada individu terlibat secara jenayah dalam kematian itu.
Ivana Smit, seorang model berusia 18 tahun yang dahulunya tinggal bersama datuk dan neneknya di Pulau Pinang selama 13 tahun, kemudiannya berpindah ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya beliau sebagai seorang model.
Pada tarikh kejadian tubuhnya yang tidak berpakaian telah ditemui di tengah-tengah longgokan serpihan runtuhan di sebuah balkoni di Tingkat 6 Kondominium Caps Square di Kuala Lumpur.
Akhbar sebelum ini melaporkan, sebelum kejadian, Ivana Esther bersama pemilik kediaman yang juga seorang lelaki warga Amerika Syarikat dan isterinya, warga Kazakhstan, dilaporkan keluar minum di sebuah premis hiburan di Bangsar.
Selepas berhibur, ketiga-tiga mereka dilaporkan kembali ke kondominium itu sebelum pasangan suami isteri terbabit masuk ke bilik tidur, manakala Ivana Esther berehat di ruang tamu rumah.
Bagaimanapun, Ivana Esthe dipercayai pergi ke balkoni dan terjatuh dan ditemui mati keesokannya.
Ivana Esther yang pernah menang tempat ketiga dalam pertandingan ‘Malaysia Supermodel Search 2014’ ketika berusia 15 tahun.