KUALA LUMPUR - Anak syarikat milik penuh Sime Darby Property Bhd, Sime Darby Property (MVV Central) Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual dan beli dengan Kumpulan Sime Darby Bhd (KSDB) untuk membeli tanah pegangan kekal berkeluasan 307.6 hektar yang bernilai RM280 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby Property berkata, tanah itu terletak di Labu, Seremban, Negeri Sembilan di kawasan pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 dan berhampiran Bandar Enstek.
Iklan
Iklan
"Tanah itu dihubungkan terus dengan Jalan Nilai-Labu-Enstek yang dijadualkan siap pada 2023.
"Harga pembelian adalah berdasarkan penilaian bersama yang dijalankan oleh Sime Darby Property dan KSDB pada September 2021,” katanya.
KSDB adalah anak syarikat milik penuh tidak langsung Sime Darby Bhd.
Sime Darby Property berkata, cadangan pengambilalihan itu disifatkan penting untuk kumpulan berkenaan mendapat simpanan tanah yang strategik bagi pembangunannya di Malaysia Vision Valley tidak lama lagi.
"Berikutan pembangunan projek perindustrian di sekitar kawasan itu pada masa ini dan jangkaan siap bagi Jalan Nilai-Labu-Enstek, tanah itu akan berada pada kedudukan yang strategik untuk dibangunkan ke arah skim pembangunan perindustrian yang holistik," katanya. - Bernama