Agenda pendigitalan diberi tumpuan dalam Bajet 2022: PM

Iklan
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditemubual berkaitan Bajet 2022, hari ini.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Agenda pendigitalan termasuk pelaksanaan 5G yang akan diterajui oleh Digital Nasional Berhad (DNB) diberi tumpuan dalam Bajet 2022 yang bakal dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada persidangan Dewan Rakyat Jumaat ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, menerusi Bajet 2022 yang dirangka dengan penekanan daripada rakyat untuk rakyat itu, usaha memperkasa pendigitalan sangat penting berdasarkan kepada pengalaman sepanjang pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai rakyat beralih kepada perkhidmatan secara dalam talian terutama golongan peniaga.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha tersebut akan dijayakan menerusi program Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang sehingga akhir bulan lepas berjaya memastikan 6.4 juta premis di negara ini diliputi rangkaian gentian optik dengan akses gigabit.

Ismail Sabri berkata, ia sekali gus menandakan pelan berkenaan berada dalam landasan untuk mencapai sasarannya sebanyak 7.5 juta premis menjelang akhir 2022.

Iklan

"Kita mahu pastikan seluruh negara dapat liputan (Internet) dua tahun dari sekarang, tidak mahu lagi ada isu panjat pokok di Sabah dan Sarawak untuk dapatkan talian, kita tidak mahu ketinggalan daripada ekonomi terkini," katanya dalam Wawancara Bajet 2022 media bersama Perdana Menteri di sini pada Rabu.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata, daripada segi liputan 4G pula, setakat akhir bulan lepas ia sudah mencapai 94 peratus.

Iklan

Malah, katanya, kerajaan telah menawarkan pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pengguna 3G beralih kepada 4G menerusi Program Jaringan Prihatin, Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia.

Mengenai masa hadapan, perdana menteri berkata, semua sektor ekonomi dijangka mendapat manfaat daripada 5G yang turut mencipta ekosistem baharu dalam menyampaikan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), transformasi digital, perkhidmatan awan, Internet Pelbagai Benda (IoT) data dan Kecerdasan Buatan (AI).

"Secara keseluruhan, Bajet 2022 adalah usaha untuk menggambarkan tekad negara, membangunkan ekonomi dengan lebih lestari dan terangkum serta menjadi daya penarik kepada perniagaan untuk menjadikan negara ini destinasi pelaburan utama," katanya. - Bernama