JOHOR BAHRU - Seorang wanita dilaporkan pengsan awal pagi tadi berdekatan sebuah kolam memancing di Taman Kota Masai namun tiada pencemaran kimia dikesan.
Penguasa Bomba Kanan II Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Zainudin Sabani berkata, pihaknya menerima panggilan telefon jam 2.41 pagi tadi.
"Kita menerima makluman terdapat bau mencurigakan di kawasan rumah berdekatan dengan kolam memancing di Taman Kota Masai dan seorang wanita pengsan dipercayai akibat terhidu bahan kimia.
"Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) membuat pemeriksaan di kolam memancing dan kawasan mangsa ditemui.
"Didapati bacaan udara di dua lokasi tersebut tiada pencemaran dan berada pada paras bacaan selamat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wanita tersebut telah telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk pemeriksaan lanjut.
Semalam seramai 1,400 pelajar dan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih diarahkan pulang ke rumah selepas ada yang pengsan dan muntah-muntah.
Seramai 28 mangsa dikenal pasti menjadi mangsa pencemaran gas kimia yang dibuang di sungai berhampiran hingga menyebabkan pencemaran teruk.
Terdapat lebih 400 kilang melibatkan industri berat dan ringan berada dalam daerah ini yang merupakan kawasan industri terbesar di negara ini.