BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha menggesa ASEAN serta ASEAN Campur Tiga (Asean +3) - China, Jepun dan Korea untuk meneruskan kerjasama dalam tindak balas Covid-19 di bawah kerangka kerja ASEAN dan secara bilateral untuk menangani pandemik itu.
"Kita perlu bersedia dalam semua aspek untuk menghadapi kecemasan kesihatan awam pada masa depan.
"Dalam hal ini negara anggota ASEAN +3 boleh membantu meningkatkan kapasiti serantau, terutamanya dari segi vaksin, ubat-ubatan, penyelidikan dan pembangunan, rizab bekalan dan peralatan perubatan yang diperlukan, serta pembangunan infrastruktur kesihatan awam," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga ke-24.
Beliau berkata, ASEAN juga menyambut baik penglibatan rakan kongsi dalam pelaksanaan berkesan Kerangka Kerja Pelan Pemulihan Komprehensif ASEAN bagi menggalakkan daya tahan serantau untuk jangka panjang, melalui integrasi ekonomi dan ketersambungan rantaian bekalan.
"ASEAN menantikan pelaksanaan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), serta penggunaan ekonomi dan teknologi digital dengan tumpuan kepada pembinaan kapasiti untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), syarikat pemula dan usahawan tempatan untuk memacu ekonomi akar umbi dan mendorong inisiatif ketersambungan ke arah hasil yang konkrit.
"Thailand bersedia untuk membangunkan Pelan Kerja Kerjasama ASEAN+3 yang baharu untuk 2023-2027. Penubuhan Kumpulan Wawasan Asia Timur baharu, terdiri pakar dari negara-negara ASEAN +3,” katanya.
Prayuth turut mencadangkan kemajuan Chiang Mai Initiative Multilateralism (CMIM) dengan inovasi kewangan untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari serta Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3 untuk mengukuhkan keselamatan makanan.
Beliau berkata, mekanisme kerjasama untuk pembangunan mampan perlu dibangunkan untuk meneroka pendekatan alternatif yang bermanfaat kepada semua manusia untuk masa depan yang mampan, seperti sinergi BCG dengan dasar dan strategi hijau rakan kongsi campur tiga. - Bernama