IPOH - Rakyat diminta untuk menilai semula kepimpinan pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelang PRK DUN Rantau yang dijadualkan berlangsung April ini.
Ketua PKR Cabang Tambun Muhammad Arafat Varisai Mahamad berkata, penilaian berkenaan adalah berikutan kenyataan Mohamad yang dilihat berbaur perkauman apabila melabel kaum lain sebagai penumpang baru-baru ini yang disifatkan sebagai melampau dan tidak mencerminkan ciri-ciri kepimpinan.
"Apakah sebenarnya dimaksudkan sebagai penumpang atau pendatang? Seolah-olah memperkecilkan sumbangan masyarakat Cina dan India pula. Mesej jelas terhadap pemimpin terlalu memainkan isu perkauman telah terbukti rakyat bangkit dan tolak mereka (pemimpin) yang rasis ini
"Mustahil untuk dia sendiri jadi wakil rakyat tanpa sokongan mereka ini. Jadi kita harap rakyat DUN Rantau dapat berikan pengajaran dengan tolak pemimpin atau calon yang rasis ini,” katanya.
Muhammad Arafat berkata demikian ketika menyertai Setiausaha Publisiti DAP Perak, Chong Zhemin membuat laporan polis berhubung kenyataan Mohamad itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, hari ini.
Sementara itu Timbalan Armada Bersatu Perak, Azrul Hakim Azhar berkata, isu perkauman boleh menggugat ketenteraman masyarakat berbilang kaum di negara ini.
"Semua orang boleh terutama rakyat di DUN Rantau dapat menilai kepimpinan UMNO sekarang yang mainkan isu perkauman untuk kepentingan mereka sendiri.
"Rakyat kena tunjukkan kuasa mereka dengan menolak sekeras-kerasnya mana-mana pemimpin yang memainkan isu perkauman,” katanya.