SHAH ALAM - Wanita UMNO mendesak kerajaan untuk terus memperkasa pembangunan wanita dalam usaha memulih ekonomi dan menjana kemajuan negara.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, kerajaan tidak boleh menafikan sumbangan wanita khususnya dalam sektor pekerjaan yang telah memberi impak besar terhadap perkembangan ekonomi negara.
Katanya, melalui peningkatan tenaga kerja wanita di Malaysia mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 0.4 peratus setiap tahun.
Menurutnya, jumlah tersebut amat signifikan, malah perlu diperhalusi serta diperkasakan.
"Belanjawan Keluarga Malaysia 2022 melihat aspek 'Membahagiakan Wanita' meliputi tiga aspek iaitu ekonomi, kepimpinan dan sosial.
"Mengapa perlu membahagiakan wanita? Kerana teras kebahagiaan sebuah Keluarga adalah wanita itu sendiri, sekali gus menjayakan aspirasi Keluarga Malaysia," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Norshida berkata, Malaysia ketika ini sedang merentasi kehidupan melalui fasa Pelan Pemulihan Negara dan perkara itu menyebabkan banyak keterbatasan termasuk peluang pekerjaan terhad buat kaum wanita.
Jelasnya, faktor tersebut menyebabkan ramai wanita pada masa ini mengambil langkah drastik untuk berniaga dalam talian dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung kos keperluan harian keluarga.
"Itu belum kita lihat wanita yang menjadi ketua keluarga untuk menyara hidup tanpa suami yang mungkin telah meninggal dunia atau bercerai menyebabkan mereka sangat memerlukan bantuan dan sokongan kerajaan pada fasa ini.
"Wanita UMNO amat prihatin terhadap wanita yang mengambil alih tugas ketua keluarga ini dan kebanyakan malu untuk meminta-minta tetapi hakikatnya mereka sangat memerlukan sokongan dan dokongan daripada kerajaan," katanya.
Sehubungan itu, tegas Norshida, kerajaan boleh melihat semula cadangan penubuhan Pusat Transformasi Usahawan Wanita di setiap negeri dengan menggunakan model holistik PASARNITA yang menawarkan ruang niaga dan melebarkan jaringan perniagaan.
Jelasnya, model tersebut turut menawarkan khidmat nasihat keusahawanan, selain mempamerkan produk dan jenama.
Tambahnya, kerajaan juga perlu memudah cara proses pemerolehan pinjaman golongan 'ibu tunggal' dengan memberi kebenaran menggabung pendapatan dengan adik-beradik atau ibu bapa yang layak.
"Kerajaan juga perlu menggerakkan usaha menyokong secara serius dan bersepadu menggalakkan wanita menjana pendapatan kedua dengan memudahkan syarat pinjaman mikrokredit untuk usahawan wanita yang menjalankan perniagaan separuh masa.
"Selain itu, kerajaan perlu menyemarakkan latihan vokasional atau TVET kepada wanita dan ibu tunggal dengan mewujudkan jaringan kerjasama bersama universiti, politeknik dan Institut Kemahiran Mara (IKM)," katanya.
Sementara itu katanya, Wanita UMNO juga berharap kerajaan menerusi Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus keanggotaan Dewan Negara disandang wanita melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kerajaan juga perlu serius memperluas penglibatan dan peluang wanita sebagai pembuat keputusan kepada sekurang-kurangnya 30 peratus dalam semua sektor.
Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu mempelbagaikan inisiatif-inisiatif dalam membuka ruang yang lebih fleksibel kepada wanita supaya sumbangan dapat salurkan kepada yang memerlukan di peringkat bawah.
"Kerajaan juga perlu memberikan ruang yang lebih holistik kepada wanita dalam sektor pekerjaan supaya sumbangan mereka turut dapat disalurkan dalam pembangunan negara," katanya.