KUALA LUMPUR - ASEAN dan negara peserta Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) seharusnya merangka hala tuju masa depan baharu sebagai persiapan menghadapi pandemik akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketika berucap pada EAS ke-16 beliau berkata, kerangka keselamatan kesihatan global yang baharu perlu dibina, suatu yang berasaskan komitmen bersama, tanggungjawab secara kolektif, telus dan kebertanggungjawaban.
"Berdasarkan keadaan yang sedang kita alami, kita perlu melihat semula aturan antarabangsa,” katanya.
Sidang EAS dihadiri 10 negara anggota ASEAN dan disertai Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat serta Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) serta Pertubuhkan Kesihatan Sedunia (WHO).
Ia diadakan secara dalam talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei.
Ismail Sabri berkata, pandemik Covid-19 membantutkan semua usaha ke arah mengangkat taraf hidup manusia, membasmi kemiskinan serta akses terhadap pendidikan berkualiti.
Vaksin Covid-19 yang selamat dan berkesan dibangunkan dengan pantas, namun malangnya, pengedaran vaksin itu didapati tidak adil dan saksama.
"Perseteruan nasionalisme dan geopolitik menentukan tindak balas kerajaan dan pertubuhan antarabangsa ketika wabak melanda serta pengedaran vaksin kepada pihak tertentu saja,” katanya.
Perdana Menteri berkata, wujud bukti bahawa pandemik mengukuhkan lagi kes multilateralisme dan dalam aspek ini, Malaysia menyokong penuh Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Mendukung Multilateralisme yang diilhamkan Brunei serta diluluskan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38.
Apa yang lebih penting katanya, pemulihan secara holistik daripada Covid-19 memerlukan usaha kolektif dan sepadu semua negara serta kerjasama dalam pelbagai bidang kesihatan dan aspek sosioekonomi.
"Malah, ia memerlukan negara yang mempunyai kelebihan supaya dapat membantu negara yang kekurangan,” katanya.
Ismail Sabri turut mengulangi komitmen padu Malaysia untuk meratifikasi Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) menjelang akhir tahun ini kerana ia dapat membantu mempercepat pemulihan serantau dan berdaya tahan. -Bernama