SKUAD ragbi lelaki tujuh sebelah negara, Bunga Raya, perlu memanfaatkan baki masa yang ada memperbaiki prestasi menjelang Kejuaraan Siri Ragbi Tujuh Sebelah Asia di Dubai pada November depan.
Itu tegas pengendali skuad Bunga Raya 7's, Mohd Saizul Hafifi Md Noor selepas menyaksikan anak buahnya yang menggandingkan pemain senior dan junior tampil dalam aksi persahabatan perlawanan kompetitif pertama tahun ini.
"Alhamdulillah, para pemain berjaya menggunakan aksi persahabatan ini untuk mengukur sejauh mana prestasi masing-masing selepas menjalani sesi latihan baru-baru ini selain dapat menilai penambahbaikan yang perlu dilakukan selepas ini.
"Tapi pada satu sudut lain saya akui bahawa skuad negara berdepan cabaran iaitu kekangan masa dalam menyiapkan pasukan yang benar-benar mantap bagi kejuaraan Siri Ragbi Asia di UAE.
"Sejujurnya kita sudah kesuntukan masa sebenarnya untuk mengadakan perlawanan persahabatan yang lebih berintensiti tinggi di luar negara dalam tempoh terdekat sebelum kejuaraan di Dubai,” katanya kepada Sukan Sinar.
Pada masa sama Mohd Saizul berkata, berbaki masa yang tinggal sebelum ke Dubai, skuad Bunga Raya 7s akan memberi sepenuhnya tumpuan memastikan tahap kecergasan dan daya saing pasukan berada pada tahap terbaik.
"Penilaian secara keseluruhan pada perlawanan persahabatan ini, para pemain masih mencari rentak dan keserasian dalam kalangan pemain biarpun semuanya kelihatan bersemangat.
"Kita akan kembali menjalani menjalani latihan dan memperbaiki kelemahan untuk perlawanan persahabatan menentang PDRM selepas ini,” katanya.
Bunga Raya 7s negara dijangka melakukan pemilihan 12 pemain terbaik dalam kalangan skuad sedia ada bagi membawa cabaran negara di kejuaraan tersebut selepas perlawanan persahabatan terakhir.
Dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di padang ragbi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu, anak buah Mohd Saizul berjaya menjinakkan Terengganu B 61-0 pada perlawanan pertama.
Skuad Bunga Raya 7s kemudian meneruskan rentak kemenangan apabila menewaskan pasukan Pembangunan Selangor Bawah 22 tahun, 33-0, Terengganu A, 21-0 sebelum melabuh tirai kemenangan 21-0 ka atas Kuala Lumpur Tigers.