Kaji secara saintifik punca rasuah menular

Iklan
Forum ‘Berilmu tanpa berintegriti, ke manakah kita?’ pada Isnin menampilkan Akhbar, Muhammad Salim Sundar (dua dari kiri) dan Hassan (kanan) sebagai panel dan Mazlan selaku moderator.

SHAH ALAM - Kajian saintifik perlu dilaksanakan untuk mengenal pasti punca sebenar penularan rasuah sama ada berkait rapat dengan masalah sistemik mahu pun individu.

Presiden Persatuan Pemeriksa Fraud Bertauliah Malaysia, Datuk Seri Akhbar Satar berkata, persoalan yang timbul adakah rasuah yang dihadapi dalam masyarakat disebabkan oleh bagaimana cara diri dibesarkan, sistem pelajaran, faktor sosio ekonomi dan sebagainya.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, melalui kajian yang dilakukan, dari situ boleh diwujudkan model tersendiri berdasarkan masyarakat majmuk yang ada dalam negara.

"Kita tidak boleh semberono mencedok model negara lain yang berbeza etnik dan budaya. Majoriti ibu bapa kita hantar anak ke sekolah supaya pandai dan untuk mendapat kerja seperti jurutera serta sebagainya agar mereka mengamalkan nilai mulia untuk menjadi insan yang baik.

Iklan

"Bila lulus di universiti, kita sepatutnya menjadi seorang jurutera yang berintegriti dan menunaikan tanggungjawab sebaiknya pada masyarakat dengan mengekalkan sifat kejujuran.

"Ini mampu memperbaiki akhlak masyarakat bila mereka berada dalam ekosistem sedia ada,” katanya dalam forum anjuran Persatuan Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Penjara Malaysia yang bertajuk ‘Berilmu tanpa berintegriti, ke manakah kita?’ pada Isnin.

Iklan

Forum yang berlangsung di Auditorium Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang itu disertai tiga panel iaitu Akhbar, bekas Pengarah Bahagian SPRM, Datuk Muhammad Salim Sundar Abdullah dan penceramah bebas, Imam Muda Hassan Adli serta Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Datuk Mazlan Mohamad selaku moderator.

Turut hadir, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abd Razak dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor.

Akhbar menegaskan, anak-anak perlu dididik dengan sistem dan kurikulum yang baik di peringkat sekolah lagi.

Akhbar Satar

"Ibu bapa juga perlu menekankan integriti dalam diri anak mereka. Bukan sekadar lulus dan cemerlang dalam pelajaran tapi beri keutamaan juga dalam isu integriti dan sebagainya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa integriti perlu ada dalam jiwa pegawai, anggota dan kakitangan Jabatan Penjara.

"Orang atasan perlu menunjukkan contoh yang baik agar diikuti orang bawah. Baik buruk hala tuju sesuatu organisasi bergantung pada ketua.

"Banyak kesan buruk akan timbul sekiranya tertangkap atas masalah integriti seperti mencemarkan maruah keluarga, dihina masyarakat, keluarga porak peranda dan hidup tidak tenteram,” tegas beliau.