TEHRAN - Iran bakal membuat keputusan sama ada rundingan nuklear dengan negara kuasa besar akan disambung semula dalam masa terdekat.
Menurut Menteri Luar, Hossein Amir Abdollahian, Amerika Syarikat perlu terlebih dahulu menunjukkan keikhlasan mereka berhubung hasrat untuk kembali berunding.
Kata Hossein, negara kuasa besar itu sekurang-kurangnya boleh mengembalikan dana dan aset Iran yang disekat sebelum ini.
"Presiden Joe Biden boleh sekurang-kurangnya menunjukkan keikhlasannya dengan mengembalilkan aset bernilai AS$10 bilion dan sumber milik Iran.
"Republik ini serius dengan komitmen terhadap perjanjian nuklear ini. Sekiranya semua pihak sedia bertolak ansur, kami juga akan melakukan perkara sama," katanya.
Beliau juga tegaskan republik itu akan menunjukkan komitmen kembali ke rundingan sekiranya semua pihak terlibat sedia bertolak ansur.
Amerika Syarikat umum tarik diri daripada Perjanjian Nuklear 2015 di bawah pentadbiran Donald Trump.
Sejak itu, Iran meningkatkan aktiviti nuklear, dan ada di antaranya mencabuli beberapa aspek dalam rundingan tersebut.
Ini termasuk dakwaan aktiviti pengayaan uranium ke tahap penghasilan senjata.
Iran bagaimanapun mendakwa program nuklearnya hanya bertujuan untuk keamanan. - Awani