KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini memutuskan 'mengembalikan' Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai setiausaha agungnya.
Mesyuarat itu sepakat untuk Tengku Adnan atau mesra disapa Ku Nan kembali menjalankan tugas itu kerana beliau tidak pernah meletakkan jawatan yang disandangnya itu sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang antara lain menyatakan, pelantikan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sebagai Setiausaha Agung BN selepas PRU14 itu tidak diperakukan oleh semua komponen BN.
"Nazri tidak diperakukan oleh BN, mengikut perlembangaan sepatutnya setiap lantikan jawatan mesti dibawa dalam mesyuarat BN.
"Hasil mesyuarat BN hari ini mengembalikan Tengku Adnan ke jawatan Setiausaha Agung BN seperti sebelum ini sebab beliau tidak pernah melepaskan jawatan tersebut," katanya ketika sidang media di Menara Datuk Onn, hari ini.
Memandangkan, Ku Nan turut memegang posisi Bendahari Agung BN, Mohamad bagaimanapun berkata, belum ada pengganti untuk jawatan tersebut.
"Bendahari BN yang baharu? Nanti saya mimpi dulu,” jawabnya berseloroh.
5 Mac lalu, MCA dan MIC dalam satu kenyataan bersama berkata, Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.
Dua parti komponen itu berkata, pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti itu.
Menurut kenyataan itu pelantikan Nazri sebagai Setiausaha Agung BN tidak pernah dibincang atau mendapat persetujuan secara rasmi di dalam Dewan Tertinggi BN walaupun ia diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam majlis perasmian Perhimpunan Agung MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 27 Oktober 2018.
Oleh yang demikian, kedua-dua parti telah menyampaikan pendirian yang jelas kepada Urusetia BN bahawa Nazri tidak layak untuk menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini.
Susulan, bantahan itu, hari ini Ahli Parlimen Padang Rengas itu memilih untuk tidak menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN bagi memberi laluan kepada MCA dan MIC membentangkan resolusi parti mereka.