KUALA LUMPUR - Pengeluar perabot tempatan perlu terus berusaha menghasilkan produk tokokan nilai tinggi menerusi reka bentuk, fungsi dan hasil ciptaan hijau yang lebih baik, bagi memastikan kejayaan berterusan industri tersebut.
Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata ini boleh disokong menerusi penggunaan pakai pembuatan pintar bagi meningkatkan kualiti, mengurangkan masa pengeluaran dan menggantikan pekerjaan berkemahiran tinggi.
Iklan
Iklan
Selain itu, kerajaan juga menggalakkan syarikat perabot agar menggunakan teknologi canggih dan automasi bagi menambah baik produktiviti dan daya saing, katanya dalam ucap tama beliau semasa majlis perasmian Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) 2019, di sini, hari ini.
"Industri perabot di Malaysia berkembang maju dan memberi sumbangan ketara kepada pendapatan eksport negara. Oleh itu, kerajaan akan terus memudahkan pertumbuhan dan pembangunan industri bagi memastikan ia berkembang dan mencatatkan prestasi yang lebih baik sebagai satu komoditi,” katanya.
Teresa berkata satu daripada langkah yang diambil untuk menyokong industri perabot adalah memastikan bekalan bahan mentah yang berterusan dengan kerajaan mengehadkan sementara eksport kayu getah bergergaji bagi tambahan nilai tinggi pada 1 Julai, 2017. - Bernama