SEBERANG JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan masih dalam proses penyelarasan dengan agensi perumahan terlibat bagi pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di tiga lokasi di negeri ini yang telah dikenal pasti sebelum ini.
Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata tiga lokasi itu ialah Gelugor, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.
"Ketiga-tiga lokasi ini dikenal pasti sebagai tempat yang sesuai untuk dibangunkan PPR bagi menampung permintaan yang tinggi di Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Wanita Sedunia peringkat Pulau Pinang di SP Arena, di sini hari ini.
Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan tiga lokasi tersebut sebagai kawasan yang dikhaskan untuk PPR bagi menangani masalah kekurangan rumah sedemikian di Pulau Pinang.
Sementara itu ditanya mengenai isu penyewa PPR Taman Manggis, Zuraida berkata beliau yakin kerajaan negeri akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.
Pada masa sama beliau menasihati penduduk yang terlibat agar berbincang terus dengan kerajaan negeri tanpa menggunakan ejen atau wakil luar agar kedudukan sebenar masalah dapat didedahkan.
Selasa lepas, kira-kira 22 penyewa PPR Taman Manggis di George Town diarah mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR.
Selepas diarah keluar dari unit masing-masing, enam keluarga membabitkan hampir 40 anggota isi rumah bertindak"menumpang” di Komtar, sejak Rabu.
Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata kumpulan penduduk yang diarah mengosongkan unit kediaman di PPR Taman Manggis itu disebabkan mereka melanggar beberapa syarat antaranya mendiami perumahan itu melebihi lima tahun.
Chow dilaporkan berkata tindakan mengeluarkan notis pengosongan tersebut terpaksa diambil bagi memberi peluang kepada pihak yang lebih layak. - Bernama