RM7.5 juta pasang, naik taraf rumah pam air

Iklan
Kerja-kerja menaik taraf parit dilakukan di Jalan Mohammad Amin, Kampung Mohammad Amin, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) memperuntukkan RM7.5 juta memasang pam air automatik selain menambah dan menaik taraf rumah pam air di sekitar bandar raya ini dalam usaha menangani masalah banjir kilat.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, dua unit pam automatik akan dipasang di Kampung Pasir untuk menggantikan pam manual sedia ada yang dijangka siap pada Ogos 2022 dengan kos RM3 juta.

Iklan
Iklan

"MBJB turut akan menambah dan menaiktaraf rumah pam Sungai Segget, sistem pam Masjid Kolam Ayer dan sistem pam surau Kampung Tambatan dengan anggaran kos keseluruhan RM4.5 juta.

"Usaha itu setelah MBJB mengenal pasti antara punca banjir kilat di bandar raya ini adalah akibat sistem pam air sedia ada yang tidak dapat berfungsi dengan sempurna sewaktu hujan lebat dan air pasang," katanya berucap dalam mesyuarat penuh MBJB di sini pada Khamis.

Iklan

Pada 20 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutama pada musim hujan di kawasan Bandaraya Johor Bahru.

Baginda bertitah, hasil siasatan MBJB mendapati banjir kilat melanda kawasan bandar raya pada bulan lalu berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Noorazam berkata, sebagai usaha berterusan menangani masalah banjir kilat, MBJB akan menambah bilangan perangkap sampah mesra alam atau CDS Gross Pollutant Traps di tiga lokasi baharu pada tahun depan.

Jelasnya, ini melibatkan di parit utama Taman Tampoi Utama, Taman Johor dan Jalan Abdul Samad Johor Bahru dengan anggaran kos RM600,000.

Perangkap sampah mesra alam itu katanya, juga berfungsi untuk mengurangkan pencemaran sampah sarap di laluan saliran air, meningkatkan tahap kebersihan air sungai, mengelakkan punca wabak penyakit serta mengurangkan penggunaan tenaga manusia.