SOP PRN ubah cara berkempen, tampil norma baharu pilihan raya

Iklan
Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketat yang perlu dipatuhi parti-parti politik bertanding dilihat akan mengubah corak berkempen.Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketat yang perlu dipatuhi parti-parti politik bertanding dilihat akan mengubah corak berkempen, pada masa sama menyemarakkan penggunaan media massa serta media sosial sebagai kaedah penting meraih undi.

Walaupun SOP sepenuhnya belum diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), namun pendedahan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengenai larangan berkempen semasa PRN dalam usaha menyekat penularan Covid-19 telah mencetuskan ketidakpuasan banyak parti politik yang mahukan pandangan mereka turut diambil kira.

Iklan
Iklan

Bagi parti-parti politik, berkempen adalah segala-galanya dalam sesuatu pilihan raya untuk meraih undi, namun ketiadaannya membuat pilihan raya umpama beku kerana mereka tidak boleh bersemuka dengan pengundi melalui amalan ziarah rumah ke rumah, ceramah atau syarahan terbuka dan acara tinjauan mesra.

Namun larangan berkempen itu tidak bererti parti-parti politik tidak boleh memperkenalkan calon masing-masing serta menyampaikan maklumat 'hangat' kepada pengundi.

Iklan

Peluang menyampaikan mesej kepada pengundi masih ada, dan SPR perlu cepat mengumumkan SOP penuh supaya parti-parti politik boleh membuat persiapan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu berkempen.

Parti-parti politik mungkin boleh memikirkan cara lain berkempen seperti menerusi media massa elektronik dan cetak dan media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, WeChat, Snapchat, WhatsApp, Telegram dan aplikasi-aplikasi lain yang membolehkan penyokong dan calon berinteraksi dengan pengundi secara maya.

Iklan

PRN Melaka pastinya akan melonjakkan penggunaan media massa dan media sosial untuk mendekati 495,196 pengundi yang akan mengundi pada 20 November ini.

Kempen secara bergerak menggunakan kenderaan yang dilengkapi pembesar suara juga adalah kaedah tambahan yang boleh digunakan parti-parti politik untuk memperkenalkan calon dan menyampai maklumat kepada penduduk persekitaran.

SPR sudah tentu tidak akan berkompromi dengan SOP PRN Melaka kerana ia dirangka dengan mengambil pengajaran daripada PRN Sabah tahun lepas akibat pihak berkepentingan mengingkari janji dengan melanggar SOP sehingga keadaan menjadi tidak terkawal, dan akhirnya menjadi penyebab kepada peningkatan kes Covid-19.

Sekiranya PRN Melaka berjaya dalam mengawal peningkatan kes Covid-19, corak berkempen berpandukan SOP itu boleh turut diamalkan semasa pilihan raya berikutnya, sama ada pilihan raya kecil, mahupun PRN di Sarawak atau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Parti-parti politik mungkin beranggapan SOP itu cubaan mengekang mereka berkempen kerana ia dirangka tanpa mengambil kira input daripada mereka, sedangkan SOP sudah tentu dimuktamatkan tanpa campurtangan pihak-pihak lain, dan ini membuktikan SPR sebuah badan yang bebas dalam membuat keputusan

Pastinya SOP itu tidak memilih kasih dan tidak ada perkara-perkara yang boleh menimbulkan atau mengundang kemarahan rakyat terhadap ahli-ahli dan parti politik.

Bagi Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkempen secara fizikal tidak lagi perlu, atau boleh dikurangkan, dan parti-parti serta individu bertanding boleh berkempen menggunakan platform media sosial dalam keadaan pandemic Covid-19.

"Bagi pengundi, saya merasakan ia tidak menjadi masalah dan masih boleh mengikut SOP ditetapkan. Yang kita bimbang dan menjadi masalah adalah semasa tempoh kempen yang tidak mengikut SOP. Ini boleh menyebabkan peningkatan kes Covid-19,” katanya.

Mohd Izani berkata bagi lokaliti yang dikenakan PKPD, undi secara pos boleh dilaksanakan di kawasan berkenaan bagi membolehkan pengundi di kawasan itu menunaikan tanggungjawab mereka.

"Hak mengundi dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan kalau dilarang, orang akan mempertikaikannya. Mungkin SPR boleh memikirkan kaedah terbaik untuk mereka jalankan tanggungjawab dan pada masa yang sama pematuhan SOP adalah perkara yang paling penting diambil perhatian,” katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Dr Che Hamdan Che Mohd Razali berkata, meskipun kaedah kempen sukar dikawal, namun ia wajar diberikan perhatian serius semua pihak.

"Untuk mendisiplinkan jentera parti ia memerlukan kerjasama yang telus dari parti-parti yang bertanding agar dapat mengelak sebarang ruang untuk merebaknya jangkitan. Kempen rumah ke rumah dan perhimpunan seharusnya dielakkan dan pihak berkuasa perlu membuat pemantauan yang berkesan agar SOP dipatuhi.

"Saya setuju, kehadiran penyokong dan wakil calon perlu dihadkan kerana kita memahami situasi semasa yang boleh mengundang sebarang risiko, walaupun melibatkan ketidakpatuhan minimum. Keghairahan penyokong dan aktivis parti perlu dikawal oleh pimpinan agar tidak membawa musibah kepada rakyat keseluruhannya,” katanya. - Bernama