SHAH ALAM - Malaysia mengalu-alukan penglibatan dan kerjasama yang lebih erat antara ASEAN dan tiga negara iaitu China, Jepun serta Korea Selatan dalam usaha mempercepatkan proses pemulihan ekonomi dan pembangunan demi kemakmuran serantau.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, Malaysia juga komited dalam merealisasikan rangka kerja dasar ASEAN mengenai makanan, pertanian dan perhutanan di bawah Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN (AMAF) AMAF dan AMAF Campur Tiga.
Menurutnya, selaras dengan komitmen tersebut, Malaysia telah melancarkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang akan menjadikan sektor agromakanan sebagai suatu sektor yang mampan, berdaya tahan dan berteknologi tinggi.
"Seterusnya, dapat memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan dalam tempoh 10 tahun.
"Kunci game changer di bawah DAN 2.0 ialah melaksanakan transformasi sektor agromakanan melalui strategi pemodenan dan pertanian pintar sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk meningkatkan produktiviti dan mengukuhkan tahap sekuriti makanan negara merentasi semua subsektor agromakanan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat AMAF Ke-43 dan Mesyuarat Ke-21 bagi AMAF Campur Tiga (China, Jepun dan Korea Selatan) secara sidang video pada Khamis.
Ronald berkata, keutamaan perlu diberikan dalam meningkatkan daya tahan sistem makanan, memastikan sumber makanan yang mampan dan penggunaan teknologi serta digital ekonomi yang lebih menyeluruh dalam sektor agromakanan.
"Keutamaan ini akan memastikan bahawa negara-negara anggota ASEAN mampu menangani sebarang ketidaktentuan di masa hadapan,” ujarnya.
Bagi mesyuarat AMAF pula, beliau berkata, negara-negara anggota ASEAN telah menerima dan mengambil kira enam kertas makluman serta 27 kertas untuk pengesahan di peringkat menteri-menteri ASEAN.
Tambahnya, antara perkara penting yang dibangkitkan adalah usaha-usaha pemulihan dan daya tahan ekonomi negara-negara anggota ASEAN, pasca-Covid-19 di bawah Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan usaha-usaha di peringkat nasional yang berkaitan dengan bidang makanan, pertanian dan perhutanan.
"Selain itu, ia juga membincangkan kemajuan pelaksanaan kerangka dasar berkaitan dengan kerjasama ASEAN dalam bidang makanan, pertanian dan perhutanan.
"Seterusnya berkaitan pengemaskinian senarai barang keperluan ASEAN di bawah ACRF yang meliputi cadangan daripada Mesyuarat Pegawai Kanan Ekonomi (SEOM) untuk memasukkan makanan ruji seperti beras, jagung dan gula dalam senarai barang keperluan sedia ada.
"Akhir sekali, kerjasama, kolaborasi dan projek-projek penting bagi menyokong visi dan pelan strategik bagi kerjasama ASEAN dalam sektor makanan, pertanian dan perhutanan (2016-2025),” katanya.