ALOR SETAR - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dicadangkan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat dan menangani masalah benih padi yang kerap berlaku dan dihadapi oleh pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pengerusi Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, jawatankuasa khas yang disertai wakil MAFI, MADA, jabatan dan agensi berkaitan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk pesawah wajar disegerakan kerana masalah yang berlarutan sejak sekian lama ini gagal ditangani dengan berkesan sehingga sekarang.
Menurutnya, jawatankuasa tersebut bukan saja berperanan memastikan bekalan benih padi mencukupi dan diterima pesawah tepat pada jadual penanaman yang telah ditetapkan pada setiap musim, tetapi juga kualiti dan harganya yang tidak membebankan golongan berkenaan.
"Baru-baru ini beberapa kumpulan pesawah MADA telah mengadakan protes berikutan bekalan benih padi lambat diterima mereka dan harganya yang meningkat dari RM28 satu beg seberat 20 kilogram (kg) kepada lebih RM50 satu beg ketika ini.
"Jawatankuasa ini juga dapat menyiasat dan mengenal pasti kawasan-kawasan sawah yang dilanda kemarau, banjir dan diancam makhluk perosak seperti siput gondang emas, tikus dan lain-lain di mana benih padi yang ditabur akan mengalami kemusnahan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, benih padi yang dibekalkan sebanyak 14,096 metrik tan untuk kawasan sawah di MADA seluas 100,685 hektar semusim mungkin tidak mencukupi kerana pesawah yang terlibat dengan masalah tersebut terpaksa menggunakan lebih banyak benih padi akibat kejadian itu.
Menurutnya, persediaan awal perlu dilakukan oleh syarikat yang bertanggungjawab membekal dan mengedar benih padi kepada pesawah di sini dengan mencukupi dan tepat pada masa yang dijadualkan.
"Jika proses ini berjalan lancar mereka tidak mudah ditipu dan ditindas oleh pihak yang mahu mengaut keuntungan.
"CAP bimbang jika masalah ini tidak ditangani segera ia bukan saja boleh menjejaskan sumber pendapatan pesawah yang terlibat dengan lebih serius lagi, malah bekalan makanan untuk rakyat dan sektor pertanian juga akan turut tergugat pada masa akan datang," ujarnya.
Tambahnya, CAP yakin pembentukan jawatankuasa khas tersebut bukan saja dapat membela nasib masa depan kehidupan lebih kurang 60,000 keluarga pesawah MADA, tetapi mengekalkan kawasan ini sebagai jelapang padi utama negara.