SEREMBAN - Peniaga dan pekerja premis makanan di daerah ini mengakui terdapat pelanggan tidak lagi mengendahkan larangan merokok yang dikuatkuasakan kerajaan pada tahun 2019.
Maklumat itu diperoleh Sinar Harian menerusi tinjauan dilakukan susulan kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang berkata, masalah merokok di tempat makan kembali meningkat susulan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan semula aktiviti makan di premis makanan.
Seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Abdul, 30, berkata, orang ramai dilihat sudah lupa dengan larangan berkenaan dan mula merokok sesuka hati.
"Dulu mungkin mereka takut kalau kena saman sebab ketika itu larangan berkenaan baru dikuatkuasakan.
"Saya pun tidak lagi berani untuk tegur pelanggan yang merokok dalam premis. Lagipun saya nampak ia macam tidak ada apa-apa lagi," katanya kepada Sinar Harian.
Pemilik kedai makan di Seremban 2, Razali Othman, 56, pula berkata, larangan merokok di premis makanan seperti dilupakan kerana sebaik sahaja ia dikuatkuasakan negara berdepan pandemik Covid-19.
Menurutnya, ketika itu juga aktiviti 'dine-in' tidak dibenarkan dan tidak pelik jika ada yang kata peraturan dan undang-undang itu dilupakan.
"Baru setahun ia dikuatkuasakan negara diserang Covid-19 dan semua tumpuan tertumpu pada wabak itu.
"Tapi bukan semua perokok yang tak sensitif dengan peraturan itu, ada ramai yang ikut peraturan dengan merokok luar dari premis," katanya.
Seorang lagi pekerja Aisyah Masitah Yaacob, 40, berkata, dia akan meminta pelanggan yang merokok di dalam premis untuk merokok di tempat lain.
"Bila tegur mereka akan berhenti merokok, tapi ada juga yang buat tak tahu saja," katanya.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, meskipun negara masih berada dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004) terus dijalankan seperti biasa.
Menurutnya, dari Januari sehingga Rabu (27 Oktober 2021) sebanyak 172 operasi bersepadu dilaksanakan.
"Hasil daripada keseluruhan operasi dilaksanakan, sebanyak 277 notis memerintahkan kehadiran ke mahkamah mengikut Seksyen 32B telah dikeluarkan kepada perokok dan penjual rokok di atas pelbagai kesalahan yang melanggar PPKHT 2004.
"Dari jumlah itu, sebanyak 200 notis dikeluarkan terhadap perokok yang merokok di kawasan larangan merokok di bawah Peraturan 11(1) iaitu merokok di premis makanan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurutnya, sebanyak dua notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal mempamerkan tanda larangan merokok di bawah Peraturan 12(1)(a) bernilai RM500.
Beliau berkata, lima notis dikeluarkan terhadap pemilik dan pengusaha tempat makan atas kesalahan gagal memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka di bawah Peraturan 12(1)(b) yang bernilai RM1,500.
"Sebanyak 11 notis dikeluarkan terhadap Orang Belum Dewasa di bawah Peraturan 13 dan lain-lain kesalahan adalah sebanyak 59 notis" katanya.