Wanita parah dihempap dahan pokok Ru

Iklan
Keadaan di lokasi kejadian -Foto: ihsan pembaca

KUALA TERENGGANU - Seorang pengunjung Pantai Batu Buruk di sini cedera parah pada kepala selepas dihempap dahan pokok Ru yang patah dalam kejadian ribut pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang, mangsa, Roslina Mohamed, 50-an dari Kampung Nail, Besut mengalami pendarahan pada kepala dan hidung.

Iklan
Iklan

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa berehat di lokasi bersama anak lelakinya sementara menunggu menantunya yang bersalin di Pusat Rawatan Ibu dan Anak, Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), di sini.

Salah seorang saksi kejadian yang juga peniaga berhampiran lokasi, Yasmin Amimi Abdul Rashid, 30-an, berkata, sebelum kejadian dia sedang menggoreng bahan jualannya dan ada terdengar bunyi seperti dahan patah.

Iklan

"Masa tu cuaca sangat gelap dengan keadaan angin yang agak kencang, saya sempat tertengok ke arah dua beranak itu yang tengah makan di atas kerusi di lokasi.

"Saya nampak mangsa cuba nak lari masa awal bunyi dahan patah tetapi tak sempat, kejadian berlaku begitu pantas apabila dahan yang patah tersebut terkena pada belakangnya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

Mangsa yang tidak sedarkan diri kemudian dikejarkan ke HSNZ untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurut Yasmin lagi, kejadian seumpama ini bukan pertama kali berlaku, malah tiga hari lepas kejadian sama turut berlaku tetapi tidak melibatkan kecederaan.

"Jadi, saya berharap pihak berwajib dapat menebang pokok dan dahan-dahan yang reput di sekitar lokasi agar kejadian sama tidak berulang lagi," katanya.