ASEAN boleh manfaatkan kepakaran Rusia bagi memerangi jenayah siber

Iklan
Ismail Sabri menyampaikan ucapan ketika mesyuarat ASEAN-Rusia yang dihadiri Presiden Rusia Vladimir Putin pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Kemuncak Berkaitan secara persidangan video yang dipengerusikan oleh negara Brunei di sini, hari. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ASEAN boleh memanfaatkan kepakaran Rusia dalam teknologi digital bagi memerangi jenayah siber.

Beliau berkata, pelaku jenayah siber mengambil kesempatan terhadap peningkatan kadar perkhidmatan dalam talian ketika pandemik bagi menyebarkan ideologi dan melakukan jenayah siber.

Iklan
Iklan

"Berhubung perkara ini, ASEAN boleh memanfaatkan kepakaran Rusia dalam teknologi digital,” katanya ketika berucap secara maya pada Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-4 yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39, pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, Malaysia komited untuk menyumbang tenaga dalam bidang ini menerusi Pusat Memerangi Keganasan Asia Tenggara dan CyberSecurity Malaysia

Iklan

Beliau berkata, CyberSecurity Malaysia merancang untuk menganjurkan inisiatif Pembangunan Profesional Keselamatan Digital ASEAN dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang bertujuan mengukuhkan keupayaan keselamatan siber bagi menangani ancaman siber di rantau ini selain menegaskan Malaysia mengharapkan sokongan Rusia bagi menyokong program itu.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada Rusia kerana menghasilkan vaksin Sputnik, yang banyak menyumbang usaha bagi memerangi pandemik.

Iklan

Beliau mencadangkan supaya ASEAN dan Rusia berkolaborasi dalam bidang penyelidikan dan pembangunan aspek diagnostik dan rawatan Covid-19, mengeluar dan mengedarkan vaksin, keselamatan biologikal serta berkongsi maklumat serta kepakaran teknikal berkaitan teknologi genetik molekular dalam kawalan penyakit berjangkit.

Ini akan dapat membantu rantau ini meningkatkan tahap siap siaga bagi berdepan kecemasan kesihatan pada masa depan.

Dalam memacu pemulihan pasca pandemik, Perdana Menteri berkata, ASEAN dan Rusia seharusnya segera menterjemah dokumen berkaitan yang diluluskan dengan tindakan konkrit dalam usaha mengukuhkan lagi kerjasama pelaburan dan perdagangan ASEAN-Rusia.

Beliau berkata, ia juga mampu memperkasa perusahan mikro, kecil dan sederhana, yang menjadi tulang belakang ekonomi ASEAN.

"Selain itu, ASEAN dan Rusia perlu memperluaskan perkongsian merangkumi kepelbagaian rantaian bekalan, transformasi digital, ekonomi digital dan ketersambungan, dan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Majlis Perniagaan ASEAN-Rusia juga perlu lebih proaktif, katanya.

"Dengan kedudukan kukuh Malaysia dalam bidang pengilangan, Malaysia sedia menyumbang ke arah mengukuhkan lagi pengilangan pintar dan penyedia penyelesaian menyeluruh untuk sektor pengeluaran dan perkhidmatan di rantau ini,” katanya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin turut hadir pada mesyuarat secara maya itu. - Bernama