Bedah siasat Ahad, masih cari bukti baharu

Iklan

LANGKAWI - Proses bedah siasat cebisan anggota Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, yang dibunuh 16 Februari lalu akan dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pada Ahad ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ini kerana polis masih meneruskan pencarian bagi mencari bukti baharu di lokasi mayat dibuang di Gunung Raya dan rumah suspek untuk melengkapkan siasatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini tiga sampel diperoleh, iaitu tengkorak, gumpalan rambut dan dua batang gigi dipercayai milik kanak-kanak perempuan itu yang ditemui dalam gaung di Gunung Raya.

"Ketiga-tiga sampel itu akan dibawa ke HSB, sebelum bedah siasat dijalankan pada pagi Ahad.

Iklan

"Selepas itu sampel berkenaan akan dibawa ke Jabatan Kimia,” katanya, hari ini.

Mohd Iqbal berkata, operasi mencari saki baki cebisan mayat mangsa diteruskan pada hari ketiga dengan memberi tumpuan di rumah suspek di kuarters Hospital Langkawi.

Iklan

"Kami masih mencari kemungkinan masih ada cebisan mayat di dua lokasi terbabit.

"Pegawai penyiasat dan anggota polis mengunjungi semula lokasi pembuangan mayat dan tempat tinggal suspek,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Budak hilang di Langkawi: Suami isteri ditahan

ARTIKEL BERKAITAN: Anak hilang selepas hubungan cinta terbongkar

Menurutnya, pasukan penyiasat cuba mencari petunjuk baharu di rumah suspek, kemungkinan berlaku penderaan terhadap mangsa.

"Sehingga kini, polis belum menemui penemuan baru di kedua-dua lokasi,” katanya.

Pada Rabu, polis menemui tengkorak dan gumpalan rambut dipercayai daripada jasad Nur Aisyah Aleya, manakala operasi hari kedua di lokasi sama menemukan dua gumpalan rambut serta dua batang gigi.

Kanak-kanak perempuan itu dilaporkan hilang oleh ibu kandungnya, Rosmaliah Samo ketika mangsa di bawah jagaan suspek, iaitu pasangan suami isteri yang menginap di kuarters Hospital Langkawi.

Pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun itu direman tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa ditemui di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya, Rabu lalu, selepas suspek lelaki menunjukkan lokasi mayat dibuang, dipercayai dilakukan pada 16 Februari lalu.