SHAH ALAM - Pakar perubatan mencadangkan agar kerajaan mempersiapsiagakan sektor kesihatan awam yang lengkap dari segi digitalisasi dalam Bajet 2022 bagi mengharungi endemik Covid-19.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, antaranya adalah dengan memastikan sistem kesihatan selari di seluruh negara.
"Apa yang kita belajar daripada masalah yang berlaku semasa pandemik Covid-19 adalah kita tidak ada satu sistem yang selari. Setiap negeri ada sistem masing-masing. Mereka ada cara buat laporan masing-masing.
"Jadi, kita kena siap siaga digitalisasi kesihatan awam ini bagi menghadapi endemik dan juga pandemik akan datang,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohammad Farhan berkata, kerajaan juga disaran menyediakan bajet secukupnya untuk membina hospital medan bagi kegunaan kecemasan.
"Kalau kita nak buat hospital medan yang ada 100 katil, kita kena ada infrastruktur dan peruntukan untuk buat ini,” ujarnya.
Tambah beliau, kerajaan juga dicadang menggunakan dana kesihatan dengan membuat aktiviti yang memberi manfaat kepada kesihatan rakyat.
"Untuk perbelanjaan kesihatan ini, lebih daripada 70 peratus pergi kepada ubat-ubatan dan hanya 20 hingga 30 peratus pergi kepada pencegahan iaitu program.
"Sebenarnya, kalau kita dapat mencegah, kita dapat mengurangkan bebanan duit yang kita habiskan. Jadi, kita kena tengok apa yang orang suka sekarang. Guna dana untuk bagi orang suka bersukan. Kita kena tukar cara hidup,” katanya.