Salah satu lantai mozek terbesar dunia ada di Palestin

Iklan
Gambar yang dirakamkan pada Khamis menunjukkan salah satu lantai mozek terbesar di dunia yang terdapat di Istana Hisham, Jericho, Tebing Barat, Palestin. - Foto AFP

JERICHO - Pihak berkuasa Palestin pada Khamis mendedahkan buat pertama kalinya salah satu lantai mozek yang terbesar di dunia di bandar Tebing Barat, Jericho selepas bertahun-tahun kerja-kerja pemuliharaan dilakukan.

Lantai mozek itu kelihatan mirip seperti sebuah permaidani dan terbentang seluas 836 meter persegi di Istana Hisham yang terletak di sebuah gurun di bandar tersebut.

Iklan
Iklan

Istana itu ialah peninggalan empayar Umaiyyah yang mula memerintah dari abad kelapan Masihi dan kemudian menjadi pemerintah Sepanyol.

Mozek itu disusun rapi dan terdapat imej seekor singa sedang menyerang seekor rusa bagi menggambarkan satu peperangan dan dua ekor haiwan antelop yang memberikan gambaran tentang keamanan.

Iklan

Terdapat imej bunga-bungaan dan reka bentuk geometrik pada lantai mozek itu.

Istana Hisham sebelum ini tidak dipulihara selama berabad-abad lamanya sehingga ia ditemui pada abad ke-19 Masihi dan lantai mozek itu pula ditemui setelah ia terselindung di sebalik debu-debu.

Iklan

Bagaimanapun, ia masih diabaikan oleh semua pihak sehinggalah lima tahun lalu apabila tapak istana tersebut ditutup kepada pelawat dan usaha-usaha pemuliharaan dilakukan menggunakan dana sumbangan Jepun sebanyak AS$12 juta (RM49.69 juta).

"Mozek ini mengandungi lebih lima juta keping dari Palestin yang mempunyai warna semula jadi," kata Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Antikuiti Palestin, Saleh Tawafsha kepada AFP.

Beliau berharap lantai itu akan menarik kehadiran pelancong datang ke Jericho yang terletak dalam jajahan Israel.

Istana Hisham itu terletak dekat Laut Mati dan ia meliputi kawasan seluas 60 hektar.

Empayar Umaiyyah memerintah dari tahun 660 hingga 750 Masihi. - Agensi