PETALING JAYA - [DIKEMASKINI] Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebulat suara bersetuju untuk menggunakan logo PH dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga akan menjadi ujian permulaan bagi penggunaan logo itu dalam pilihan raya gabungan parti berkenaan.
"Seluruh kekuatan PH iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan hanya menonjolkan logo PH.
"Kami berjuang hanya atas satu logo, satu pendirian dan satu manifesto," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR di sini, pada Jumaat.
Hadir sama, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Dari segi pembahagian kerusi pula, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, perbincangan yang dilakukan bukan sahaja memuktamadkan agihan kerusi bagi PRN Melaka bahkan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, bagi PRN Melaka, jumlah akan ditandingi DAP kekal lapan kerusi; Amanah sembilan kerusi dan PKR sejumlah 11 kerusi.
"Kami juga bincang untuk jangka panjang kerana telah putuskan pembahagian kerusi Parlimen bagi Melaka (untuk PRU15).
"Kami putuskan PKR kekal dua kerusi dan Amanah juga dua kerusi dan DAP akan tambah Alor Gajah kerana ini kawasan tradisional yang ditandingi DAP sejak awal tapi didesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam pilihan raya yang lalu maka Alor Gajah diserahkan kepada Bersatu," katanya.
Tambah Anwar, proses pembahagian kerusi itu telah melalui proses yang panjang bermula dari peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), peringkat negeri, peringkat jawatankuasa khas yang mewakili pimpinan sebelum diangkat ke Majlis Presiden PH.