KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan mengagihkan kit asas kebersihan secara percuma setiap bulan kepada 130,000 remaja golongan B40.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam ucapan Bajet 2022 berkata, pengagihan akan dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia.
"Dianggarkan 130,000 remaja wanita dari keluarga B40 di Malaysia tidak mendapat akses kepada produk kebersihan seperti tuala wanita atas sebab kekangan kewangan," katanya.
Menurutnya, aspek kesihatan dan kebersihan diri remaja wanita amat penting dalam mengurangkan sebarang risiko kesihatan dan keciciran di sekolah.
"Timbalan saya, Mohd Shahar Abdullah dalam sebuah sesi libat urus telah mengenal pasti satu isu serius," katanya.
Beliau berkata, bagi segmen kesihatan wanita juga, sejumlah lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mammogram kepada individu berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks.
"Selain itu, bagi melindungi kebajikan lebih ramai mangsa keganasan rumah tangga, kerajaan juga akan menambah Pusat Sokongan Sosial Setempat serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk meningkatkan bilangan Rumah Perlindungan Khas Wanita," katanya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus giat melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dan memelihara kebajikan komuniti tumpuan, terutamanya melibatkan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
"Menjelang tahun 2030, Malaysia bakal dikategorikan sebagai negara menua.
Bagi memastikan setiap warga emas yang memerlukan mendapat sokongan berterusan, Bajet ini menyediakan lebih RM635 juta khusus untuk bantuan kebajikan, institusi penjagaan dan pusat aktiviti warga emas," katanya.