KUALA LUMPUR - Ekonomi Malaysia diunjur terus berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus tahun depan.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia berpaksikan asas ekonomi yang masih kukuh dan struktur yang pelbagai.
"Bagaimanapun, prestasi ini turut bergantung kepada faktor lain antaranya kejayaan mengawal pandemik, keberkesanan pelaksanaan program vaksinasi serta keteguhan prospek ekonomi dan perdagangan dunia," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada Jumaat.
Tambah Tengku Zafrul, dalam aspek memelihara rakyat dan perniagaan, kerajaan tidak pernah alpa menyediakan bantuan.
"Walau digasak pelbagai cabaran dalam ruang fiskal yang terhad, kerajaan tetap mencari jalan menyediakan bantuan kepada yang memerlukan.
"Bukanlah perkara yang mudah tetapi Alhamdulillah, sebanyak lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi telah disediakan dengan jumlah keseluruhan RM530 bilion tidak termasuk peruntukan Bajet 2021," katanya.