KUALA LUMPUR - Pelaksanaan kerja jarak jauh secara meluas termasuk amalan bekerja dari rumah sejak penularan Covid-19 dan kemajuan pendigitalan, dijangka mengubah landskap guna tenaga dan pekerjaan pada masa hadapan.
Menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, susulan itu majikan dan pekerja masing-masing perlu meningkatkan kemahiran dan latihan kendiri untuk memenuhi keperluan masa hadapan.
"Dari segi penawaran, institusi tertiari perlu memberi lebih penekanan kepada program berkaitan digital dan menerapkan pemikiran analitik dan kemahiran insani lain dalam kursus sedia ada yang bukan berkaitan dengan bidang informasi maklumat (IT), yang dapat memberi nilai tambah kepada tenaga kerja,” menurut tinjauan itu.
Menurut laporan itu, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyatakan permintaan bagi pakar digital seperti pembangunan perisian dan e-dagang meningkat tiga kali ganda daripada sekitar 19,000 kekosongan pada Jun 2020 kepada 56,000 kekosongan pada April 2021.
Laporan itu turut mencadangkan inisiatif ke arah pendigitalan perlu diteruskan untuk menyokong perniagaan mengguna pakai alat teknologi dalam operasi harian yang akan membolehkan pemain dalam pasaran buruh beralih secara progresif ke arah automasi dan pendigitalan.
Selain itu, laporan tersebut menyebut peniaga kecil juga perlu diperkasa dengan teknologi digital dalam pelbagai sektor menerusi program bantuan sedia ada.
Menurut laporan itu, sehingga kini kerajaan telah menyediakan bantuan seumpama melalui SME Digital Accelerator Grant dan 100GoDigital bagi menyokong industri itu beralih ke arah pendigitalan.
Laporan itu turut memetik Laporan Forum Ekonomi Dunia (2020) berkenaan kaji selidik melibatkan syarikat di Malaysia antaranya akan mempercepatkan pendigitalan proses kerja seperti persidangan video untuk pekerjaan masa hadapan serta menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan jarak jauh.
Syarikat yang dikaji selidik juga akan mengautomasikan kerja, mengambil kakitangan baharu dengan kemahiran yang relevan dengan teknologi baharu serta memberi fokus kepada program peningkatan kemahiran dan latihan semula untuk melengkapkan pekerja dengan kemahiran terkini dan ilmu pengetahuan termasuk pemikiran analitik dan inovatif. -Bernama