KUALA LUMPUR - Permintaan domestik diunjur terus berkembang sebanyak 6.6 peratus pada 2022 manakala penggunaan swasta meningkat pada kadar yang lebih pesat sebanyak 7.3 peratus, disokong oleh pendapatan boleh guna lebih tinggi dan prospek pekerjaan lebih baik berikutan pemulihan ekonomi yang menyeluruh.
Menurut Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2022 yang dikeluarkan pada Jumaat, keyakinan pengguna yang bertambah baik dan kesan kekayaan positif disokong oleh pemulihan pasaran saham juga dijangka merangsang perbelanjaan penggunaan swasta.
"Aktiviti ekonomi pada 2022 dijangka kembali kepada tahap prapandemik berikutan kemajuan pesat program vaksinasi di seluruh negara.
"Semua komponen perbelanjaan diunjur mencatatkan pertumbuhan positif walaupun sebahagian komponen menyederhana berikutan sektor luar negara,” katanya.
Katanya perbelanjaan awam dijangka kembali pulih dengan ketara sejajar dengan pelaksanaan segera projek infrastruktur berskala besar.
Pelaburan swasta diunjur mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus seiring dengan langkah kerajaan untuk menggalakkan pelaburan berkualiti dalam industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah tinggi serta berintensifkan pengetahuan dan berasaskan inovasi.
Antara industri berimpak tinggi ialah elektrik dan elektronik (E&E), bahan kimia, mesin dan peralatan, aeroangkasa dan peranti perubatan yang mempunyai kesalinghubungan kukuh dengan industri domestik yang lain.
Selari dengan Dasar 4IR Negara untuk meningkatkan penerimagunaan pembuatan pintar dan pendigitalan, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam mesin pintar, automasi dan robotik, kenderaan berpandu automatik, logistik pintar, IoT dan perkhidmatan berasaskan awan.
Menurut Kementerian Kewangan, perbelanjaan modal sektor awam terus menjadi pelengkap kepada sektor swasta dalam pembangunan negara dan antara projek utama yang terlibat termasuklah projek berkaitan pengangkutan berskala besar seperti Transit Aliran Massa Laluan 2 (MRT2), LRT3, RTS dan Lebuh Raya Pan Borneo.
"Perbelanjaan modal daripada pelbagai projek tersebut dijangka menyokong pelaburan awam yang melonjak sebanyak 24.1 peratus.
"Bagaimanapun, penggunaan awam diunjur meningkat secara marginal sebanyak 1.1 peratus pada 2022, seiring dengan langkah mengoptimumkan perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang berhemat,” katanya.
Katanya, pendapatan negara dalam harga semasa dijangka meningkat sebanyak 7.4 peratus.
"Pada 2022, eksport kasar dianggarkan meningkat 1.5 peratus meliputi semua sektor susulan daripada pertumbuhan perdagangan global yang rancak dan penambahbaikan dalam rantaian bekalan.
"Import kasar diunjurkan meningkat sebanyak 1.7 peratus berikutan peningkatan permintaan barangan pengantara, barangan modal dan barangan penggunaan susulan pengukuhan pemulihan ekonomi serta pelaksanaan semula aktiviti pelaburan.
"Akaun semasa dijangka mencatat lebihan sebanyak RM55.6 bilion atau 3.5 peratus daripada pendapatan negara kasar sejajar dengan pemulihan berterusan dalam aktiviti perindustrian dan pelaburan,” katanya.
Menurut beliau, akaun barangan dianggarkan merekodkan lebihan sebanyak RM178.9 bilion susulan terimaan lebih tinggi didorong oleh lonjakan pertumbuhan dalam kalangan rakan dagang utama meliputi semua sektor ekonomi.
Kadar inflasi dijangka mencatat 2.1 peratus pada 2022, berikutan prospek ekonomi yang lebih baik dan harga minyak mentah yang stabil. - Bernama