PERUNTUKAN RM40 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk geran, jaminan dan ekuiti kepada semua perniagaan daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) hingga syarikat senaraian awam akan terus menyokong pemulihan industri dan sektor berikutan ekonomi telah dibuka semula.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, penting bahawa bajet tersebut mewujudkan peluang kepada individu dan perniagaan untuk beralih kepada ekonomi yang semakin pulih untuk pertumbuhan dan memberi tumpuan kepada langkah-langkah produktiviti.
Katanya, bank turut mengalu-alukan pengembangan dalam jaminan kredit perumahan dan skim kredit mikro kepada pekerja dan perniagaan dalam sektor tidak formal, bertujuan untuk memudahkan akses kepada pembiayaan dan membolehkan keterangkuman kewangan.
"Industri perbankan, bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut membangunkan program sasarannya sendiri untuk terus menyokong segmen pelanggan individu paling mudah terjejas melalui skim bantuan kewangan yang komprehensif.
"Skim ini, dikenali sebagai Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) akan menyediakan penyelesaian pengurusan kewangan yang menyeluruh kepada pelanggan B50,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, peruntukan itu akan memberi manfaat kepada kumpulan B40 dan perniagaan terutamanya PKS, tulang belakang ekonomi negara.
"Ini termasuk, misalnya, akses kepada pembiayaan untuk PMKS dan sektor tidak formal. Inisiatif kerajaan untuk menggalakkan keterangkuman dengan menyasarkan untuk mengurangkan jurang pendapatan serta jurang pembangunan antara negeri, akan membawa kepada pendapatan, kekayaan dan kesaksamaan sosial yang lebih baik,” katanya.
Abdul Rahman berkata, bajet tersebut akan mengukuhkan daya tahan ekonomi negara dan membina semula keyakinan pasaran.
"Ia adalah baik apabila kerajaan terus memberi penekanan kepada dasar yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) PBB untuk mencapai neutral karbon menjelang 2050.
"Kerajaan akan turut meningkatkan komitmennya ke arah memacu agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), melalui pelaburan yang akan merangsang aktiviti dan pertumbuhan ekonomi selain mengurangkan bahaya terhadap alam sekitar dan komuniti kita,” katanya.
Selain itu, CIMB menyambut baik pelan kerajaan untuk terbitan sukuk kemampanan berjumlah sehingga RM10 bilion pada tahun depan untuk disalurkan kepada projek yang mesra sosial dan iklim yang layak.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group Datuk Khairussaleh Ramli positif terhadap inisiatif kemampanan oleh kerajaan melalui peningkatan kepelbagaian di tempat kerja dan memperkasakan wanita dalam membina ekonomi yang lebih kukuh selepas Covid-19 serta aspirasi negara ke arah neutral karbon menjelang 2050.
Kementerian Kewangan hari ini mengumumkan Bajet 2022 yang menyokong tiga tonggak utama: mengukuhkan pemulihan, membina daya tahan dan memacu inovasi.
Jumlah bajet, bersamaan dengan 20.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), hampir 3 peratus lebih tinggi daripada RM322.5 bilion yang diumumkan untuk Bajet 2021. - Bernama