BAGAN DATUK - Pengumuman Bajet 2022 pada Jumaat disifatkan berita gembira buat golongan usahawan dan peniaga kecil menerusi beberapa inisiatif yang disediakan kerajaan.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak, Asmadi Teh berkata, Bajet 2022 yang diumumkan memperlihatkan kesediaan kerajaan mendengar rintihan dan keperluan rakyat terutama golongan peniaga kecil yang sangat terkesan akibat pandemik Covid-19.
Menurutnya, beberapa inisiatif yang diumumkan itu juga hasil pertemuan Gabungan Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Malaysia bersama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar sebelum pembentangan belanjawan itu.
"Kita ingin berterima kasih atas keperihatinan kerajaan yang telah memperuntukkan bajet khusus buat para peniaga kecil dan penjaja antaranya pinjaman mudah tanpa faedah yang diumumkan.
"Harapan kita agar apa yang diumumkan oleh kerajaan ini akan meringankan sedikit bebanan terutama golongan B40, peniaga kecil dan penjaja," katanya kepada Sinar Harian selepas ditemui pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPPKM Cawangan Bagan Datuk di Jalan Kancil 1, Taman Industri Kancil, Jalan Bagan Datuk, Hutan Melintang, di sini pada Jumaat.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi yang turut merasmikan majlis tersebut
Sementara itu, Asmadi berkata, sejak pandemik Covid-19, jumlah usahawan dan peniaga kian meningkat memandangkan ramai yang kehilangan pekerjaan menyebabkan mereka berjinak dengan perniagaan khususnya secara dalam talian.
Menurutnya, keadaan itu terbukti apabila jumlah keahlian PPPKM Negeri Perak turut meningkat sehingga 10,000 orang dengan daerah Kinta, Manjung, Kerian dan Hulu Perak mempunyai keahlian yang tinggi.
Jelasnya, sehingga kini PPPKM Negeri Perak mempunyai 16 cawangan dan yang terbaharu adalah daerah Bagan Datuk.
"Kita sangat menggalakkan usahawan dan peniaga kecil menyertai persatuan kerana mereka dapat memperoleh pelbagai manfaat termasuk bantuan yang disediakan kerajaan.
"Bantuan kerajaan disalurkan menerusi persatuan dan mereka yang berdaftar tidak akan tertinggal menerima bantuan ini mengikut syarat ditetapkan. Melalui bantuan ini, dapatlah meringankan beban golongan peniaga kecil," katanya.
Pada Jumaat, pembentangan Bajet 2022 turut mengumumkan Skim Pembiayaan Informal dan Mikro di bawah Tekun Nasional (Tekun) yang akan menawarkan pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah 0 peratus serta moratorium selama 12 bulan dengan keutamaan kepada peniaga sektor informal dan mikro.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif itu membabitkan pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion yang akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti Tekun, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.