'Ada ruang Pas, UMNO, Bersatu bersama dalam PRN Melaka'

Iklan
Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi bayangan bahawa masih ada ruang untuk Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk bersama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Beliau berkata, perkara itu dicapai dalam pertemuan dan mesyuarat pada malam Jumaat.

Iklan
Iklan

"Saya ingin menyampaikan berita gembira, walaupun ini bukan keputusan muktamad tetapi nampaknya ada ruang untuk ketiga-tiga parti duduk bersama pada PRN Melaka nanti.

"Malam tadi saya ada pertemuan serta mesyuarat dan ada beberapa ruang yang boleh kita capai bersama," katanya ketika merasmikan Muktamar Dewan Muslimat Pas Kali ke-61 dan melancarkan TV Wanita Sejahtera secara maya pada Sabtu.

Iklan

Pada Rabu, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas pada PRN Melaka menerusi Muafakat Nasional (MN) namun tiada pendirian yang dinyatakan mengenai kerjasama dengan Bersatu.

Ketiga-tiga parti itu sebelum ini pernah bekerjasama dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Iklan

Bagaimanapun, selepas 17 bulan memerintah, kerajaan PN tumbang selepas beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu dan berlaku lagi peralihan kuasa.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, muafakat politik menjadi sebahagian kerangka Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Kita akui bahawa muafakat politik menjadi mekanisme penting dalam menghadapi PRU15 namun harus kita fahami jangan fokus pada muafakat politik tanpa melihat kekuatan parti.

"Pas mesti melebarkan sayap di luar kerangka sedia ada. Ya sekarang kita boleh bangga dengan kekuatan kita di Kelantan, Terengganu, Kedah dan sebahagian di Perlis namun Pas perlu melebarkan sayap sama ada di bahagian zon tengah atau selatan," katanya.

Menurutnya, ia juga sebagai strategi parti itu dalam menghadapi cabaran baharu apabila seramai 5.8 juta pengundi muda yang akan masuk dalam sistem pemilih bermula 1 Januari nanti.

Pengaruh pengundi berusia 18 tahun itu katanya, memberi kesan yang sangat besar dalam konteks pilihan raya nanti.