PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi penekanan terhadap bidang penyelidikan pembangunan eksperimental dengan menyalurkan pembiayaan bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Menurutnya, ia bagi memanfaatkan peruntukan sebanyak RM423 juta oleh kerajaan menerusi Bajet 2022 kepada MOSTI dan Kementerian Pengajian Tinggi.
"MOSTI amat menghargai keprihatinan kerajaan dalam memacu aktiviti R&D khususnya di peringkat penyelidikan pembangunan eksperimental oleh pihak industri, institusi pengajian tinggi dan agensi penyelidikan kerajaan.
"Aktiviti R&D mampu menjana pendapatan menerusi usaha pengkomersialan produk serta teknologi tempatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu..
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam mengumumkan peruntukan itu termasuk RM295 juta kepada universiti awam untuk terus berperanan dalam ekosistem penyelidikan dan inovasi serta menggalakkan kerjasama dengan industri.
Bagi memperkasakan program strategi MyStartup oleh Cradle Fund Sdn Bhd, Dr Adham berkata, pihaknya akan memberi sokongan terhadap setiap peringkat perkembangan dan pertumbuhan syarikat-syarikat pemula yang berpotensi.
Katanya, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi memulih dan membina daya tahan syarikat-syarikat terbabit.
Menyifatkan Bajet 2022 sebagai input menyeluruh dari segenap lapisan masyarakat, beliau berkata MOSTI terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirangka dan memberi tumpuan kepada matlamat memulihkan kehidupan, serta mata pencarian rakyat.
"Ini selaras dengan tiga bidang fokus Bajet 2022 iaitu 3R; recovery (memulih), resilience (membina daya tahan) dan reform (menyusun semula) yang membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap Keluarga Malaysia,” katanya.
Justeru, Dr Adham berkata beliau akan memastikan warga kementerian dan pelbagai agensi di bawah MOSTI sentiasa proaktif memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan agar manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia.- Bernama