Jendela mampu bantu Malaysia bersaing dengan negara maju: Penganalisis

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

PELAKSANAAN inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) dengan peruntukan RM700 juta bagi meneruskan usaha ketersambungan digital, dilihat mampu membantu Malaysia bersaing dengan negara maju, seiring dengan pengembangan ekonomi dunia yang sedang berkembang ke arah pendigitalan.

Penganalisis ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, program Jendela amat penting diteruskan dan dipergiatkan supaya negara tidak ketinggalan.

Iklan
Iklan

"Menurut Laporan Ekonomi Digital Dunia 2021 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keseluruhan ekonomi dunia sedang ke arah pendigitalan.

"Jika kita tidak meneruskan usaha pendigitalan ini, kita akan ketinggalan apatah lagi negara-negara di Asia Pasifik masih jauh ketinggalan berbanding negara maju dari segi langganan telefon bimbit dan jalur lebar,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Iklan

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Bajet 2022 di Dewan Rakyat semalam, mengumumkan pelaksanaan inisiatif JENDELA akan dipergiatkan tahun depan dengan penyediaan RM700 juta bagi meneruskan usaha ketersambungan digital di 47 kawasan perindustrian dan 30 sekolah terutama di luar bandar.

Ahmed Razman berkata, perkhidmatan 5G di negara-negara Asia Pasifik hanya meliputi 11 peratus daripada keseluruhan perkhidmatan berbanding 47 peratus di negara-negara Amerika Utara dan 46 peratus di China.

Iklan

"Bagi mencapai daya saing yang diharapkan dan menambah baik komunikasi serta jalinan di seluruh pelosok negara, pendigitalan harus menjadi fokus dalam perancangan negara tahun hadapan termasuk memanfaatkan setiap program yang akan dilaksanakan seperti Malaysia Digital Nomad dan Skim Geran Pendigitalan PKS (Perniagaan Kecil dan Sederhana),” katanya.

Selain peruntukan RM700 juta, kerajaan juga menambah RM30 juta lagi bagi kemudahan Internet di 40 Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedia ada dan perluasan perkhidmatan 5G kepada 36 peratus di kawasan kepadatan tinggi.

Tambah Ahmed Razman, beliau juga berharap agar kerajaan memastikan setiap tempat yang menerima liputan internet turut menerima kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya, elektrik dan air.

"Pendek kata, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas mesti seiring,” katanya. - Bernama