Pengecualian duti hiburan, cukai pelancongan bantu industri bangkit

Iklan
SHAHIDAN

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menyambut baik Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia – Makmur Sejahtera yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, walaupun KWP tidak menerima jumlah peruntukan yang diharapkan namun kementerian itu akan terus meningkatkan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KWP menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM414,209,900 dan RM256,601,400 bagi peruntukan mengurus.

"Peruntukan bagi tujuan pembangunan merangkumi projek Public Private Partnership (PPP) dan Private Finance Initiative (PFI), membaik pulih jalan serta jambatan, baik pulih sungai, sewerage non-river (SWR) dan River of Life (ROL) selain pembangunan di Labuan dan Putrajaya.

Iklan

"Peruntukan mengurus pula digunakan bagi tujuan pembangunan komuniti dan kesejahteraan bandar, perancangan dan pembangunan, pengurusan, selain bagi program khusus untuk penyelenggaraan bas Putrajaya, diskaun tambang feri Labuan serta naik taraf Dataran Pahlawan Negara.

"KWP turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM65 juta untuk membina sebuah sekolah menengah agama di Labuan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambah beliau, pengecualian duti hiburan ke atas aktiviti hiburan termasuk taman tema dan panggung wayang di Wilayah Persekutuan akan membantu industri tersebut kembali bangkit selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Shahidan memberitahu, pengecualian cukai pelancongan yang dilanjutkan kepada 31 Disember ini turut dapat membantu memulihkan industri pelancongan di Wilayah Persekutuan Persekutuan.

"KWP juga memuji program Community Feeding kepada kanak-kanak daripada keluarga miskin bandar di beberapa negeri termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya membabitkan penyediaan makanan tambahan lima kali seminggu kepada 100 kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

"Program ini akan memastikan kanak-kanak miskin bandar tidak akan kelaparan dan dapat meringankan beban keluarga yang terkesan," katanya.

Tambahnya, kementerian itu akan memastikan peruntukan yang disediakan itu bakal memberi manfaat kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.