JURGEN Klopp menegaskan tindakan merehatkan Mohamed Salah ketika penyerang prolifik The Reds tersebut berada pada prestasi terbaik merupakan satu jenayah menjelang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Anfield.
Malah menurut Klopp, pemain The Reds yang tidak disenaraikan dalam melayan kunjungan The Seagulls itu berhak untuk berasa marah, namun dia tidak akan melaksanakan pengiliran pemain pada perlawanan itu.
Tegas bekas pengendali Borussia Dortmund itu, dia tetap akan menurunkan kesebelàsan terbaik berdepan kelab tangga kelima liga kendalian Graham Potter tersebut berdasarkan rekod pertemuan terakhir kedua-dua pasukan sebelum ini, selain melebarkan rekod 23 perlawanan tanpa kalah dalam semua kejuaraan.
"Tindakan merehatkan pemain yang berada pada prestasi terbaik bagi perlawanan menentang Brighton merupakan satu jenayah, potensi mereka sewajarnya dimanfaatkan dalam perlawanan penting ini.
"Jadi lupakan idea tersebut kerana menentang Brighton merupakan perlawanan yang istimewa, malah pastinya berliku kerana Graham (Potter) sedang melakukan yang terbaik untuk Brighton ketika ini.
"Sekiranya saya memilih untuk merehatkan pemain-pemain yang sedang dalam momentum terbaik, ia akan menjejaskan motivasi pemain-pemain ini ketika masing-masing teruja bermain," ujar Klopp.
Pengendali Jerman itu sebelum ini melakukan rombakan terhadap kesebelàsan utama Liverpool ketika berkunjung ke Stadium Deepdale menentang Preston North End pada saingan Pusingan 16 Piala Liga yang menyaksikan kemenangan 2-0 pelawat hasil jaringan Takumi Minamino dan Divock Origi.
Jelas Klopp lagi, dia akan memastikan para pemain Liverpool mempamerkan potensi diri terbaik semasa sesi latihan akan mendapat peluang masing-masing.
"Biarpun begitu adalah mustahil dapat menurunkan kesemuanya, namun perkara yang paling penting pada penghujungnya adalah kemenangan dalam setiap perlawanan untuk Liverpool.
"Apabila anda beraksi untuk pasukan seperti Liverpool, anda perlu belajar menerima keputusan akhir ditetapkan oleh pengurus pasukan. Tugas para pemain adalah memberikan yang terbaik semasa sesi latihan, kerana pada masa itu anda mempunyai pengaruh untuk memastikan diri terpilih untuk kesebelàsan utama pasukan. Saya akan berusaha mengembirakan semua, namun pada masa sama mahu juga mereka berasa amarah," ujarnya.
Sementara itu, Klopp mengingatkan para pemainnya untuk tampil lebih baik daripada ketika membelasah Manchester United 5-0 minggu lalu apabila menentang Brighton.
"Pasukan ini perlu mempamerkan peningkatan dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dunia melihat kemenangan besar 5-0 ke atas Manchester United sebagai sesuatu yang sempurna, namun sebaliknya tidak sebenarnya kepada Liverpool.
"Manchester United memiliki deretan peluang yang Liverpool berikan pada perlawanan sebelum ini, kita tidak seharusnya bergantung pada nasib atau Alisson.
"Liverpool perlu berusaha menstabilkan bahagian pertahanan apabila setiap kali semasa bola berada dalam penguasaan lawan," kata Klopp