SHAH ALAM - Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin iaitu rokok elektronik dan vape adalah langkah baik bagi menggalakkan orang ramai berhenti melakukan aktiviti tersebut.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, mengenakan cukai menjadikan barangan itu lebih sukar diperoleh berbanding kini dan mengubah cara hidup individu.
"Ini antara faktor menggalakkan masyarakat berhenti daripada aktiviti yang tidak bermanfaat kepada kesihatan selain mengelakkan lebih ramai anak muda terjebak,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Pada Jumaat, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Tambah Tengku Zafrul, kerajaan turut bercadang meluaskan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh dalam usaha menjayakan gaya hidup sihat rakyat.
Bagaimanapun, Dr Malina berkata, apabila dikenakan cukai, kemungkinan salah laku undang-undang seperti kegiatan penyeludupan barangan tersebut akan meningkat.
Oleh itu ujarnya, kerajaan perlu bersedia bagi memastikan kegiatan itu tidak berlaku di negara ini.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mohammad Farhan Rusli berkata, cadangan mengenakan cukai kepada barangan nikotin itu hanya memberi manfaat kepada ekonomi negara sahaja.
Cadangnya, barangan yang mendatangkan kesan negatif itu seharusnya tidak dibenarkan untuk dijual dan dibeli dalam negara.
"Cukai bukan penyelesaian. Kalau ia bahaya, sepatutnya tidak perlu lagi ada di negara ini. Ini sebenarnya penyelesaian yang betul-betul holistik.
"Dari sudut kesihatan awam, ia sebenarnya tidak mendatangkan manfaat tetapi untuk ekonomi iaitu menambah kewangan kepada kerajaan,” ujarnya.