SHAH ALAM - Bajet 2022 adalah cerminan komitmen kerajaan dalam memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan, baik individu mahupun perniagaan dalam menyemai kebersamaan Keluarga Malaysia.
Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bersandarkan peruntukan bernilai RM332.1 bilion, sekali gus terbesar dalam sejarah belanjawan negara yang dibentangkan pada Jumaat.
"Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan akan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
"Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia.
"Selain itu, dengan berpaksikan kepada tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan, saya yakin Bajet 2022 akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara yang sedang giat dijalankan.
"Bajet ini akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam dan struktur ekonomi," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Muhyiddin turut menyeru semua rakyat agar bersatu dalam memastikan usaha pemulihan negara dapat berjalan lancar.
Katanya, ia bertujuan untuk merancakkan kembali pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.