AYER KEROH - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menguatkuasakan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di seluruh negara dan bukan hanya di negeri Melaka menjelang Pilihan Raya Negeri November depan.
Ujarnya, bukan hanya parti politik, malah mana-mana kumpulan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan tetap akan dikenakan tindakan.
"Parti Muda tak ada ya (belum didaftarkan), jadi perjumpaan (dikira) melanggar SOP. Tak kira parti atau mana-mana kumpulan melakukan sesuatu tidak mengikut SOP. Bukan setakat SOP pilihan raya malah Akta 342.
"Akta ini masih berjalan sama ada pilihan raya atau tidak, bukan hanya di negeri Melaka, di mana mana sahaja, ini orang tak faham orang ingatkan hanya pilihan raya.
"Penjarakan sosial, tak pakai pelitup muka, macam-macam yang ada dalam Akta 342 itu masih terpakai diumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), itu sepatutnya kita fikirkan dahulu," jelasnya.
Mengulas lanjut berhubung SOP Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, jelasnya, ia akan dikuatkuasakan seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kelak.
"Kalau SOP yang dibuat SPR itu lain, itu belum diumumkan. Apabila diumumkan nanti kita (PDRM) akan ambil tindakan (penguatkuasaan) mengikut ketetapan yang dibuat SPR," jelasnya lagi.
Tambah Hamzah, bagi memastikan kesiapsiagaan PDRM dalam menjaga keselamatan sepanjang PRN Melaka bermula 8 November depan, beberapa pendekatan diambil agensi itu.
"Dalam keadaan ini kita bincang adakah keanggotaan cukup, bagaimana nak menasihati anggota di bawah sana.
"Baru baru ini Parlimen telah revoke semula ordinan-ordinan, maka anggota perlu tahu kita balik Akta 342, semua itu perkara kita ambil kira.
"Maka perbincangan dan taklimat diberikan saya yakin PDRM kontinjen Melaka dapat memastikan kita berikan kesejahteraan untuk semua rakyat, sama ada (berada) dalam (negeri) atau yang datang melawat Melaka, akan rasa selesa," jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Melaka pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim. - Awani