SEPANG - Program Selangor Agro Market akan diperluas ke seluruh negeri tersebut secara berperingkat pada tahun hadapan bagi merancakkan penjanaan ekonomi dalam kalangan usahawan langsung dari ladang dan kebun.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim berkata, sebanyak 31 buah tapak perniagaan di bawah program tersebut dibuka di seluruh negeri yang disertai oleh 465 usahawan langsung.
Menurutnya, sebanyak RM350,000 nilai jualan berjaya dijana setakat Oktober ini daripada semua lokasi yang terlibat dalam program tersebut.
"Kita belum rancang jumlah tapak Agro Market yang akan ditambah pada tahun depan, tapi mungkin jumlahnya dua kali ganda daripada tapak sedia ada.
"Sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) kita pernah buka lebih 100 tapak Agro Market di seluruh Selangor, jadi kita akan cuba capai sasaran tersebut atau lebih daripada itu," katanya ketika melawat tapak Selangor Agro Market di Taman Tasik Cyberjaya, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussain menyambut baik penganjuran program Selangor Agro Market di sini yang boleh menjana pendapatan usahawan.
Ujarnya, penganjuran program tersebut di Taman Tasik Cyberjaya di sini turut dimanfaatkan sebagai tapak penjanaan ekonomi, selain tapak rekreasi yang sering dikunjungi penduduk sekitar sini dan kawasan sekitar.
"Pada hari minggu, penduduk di Cyberjaya atau kawasan sekitar akan menggunakan kemudahan di sini, jadi kita mengambil kesempatan ini supaya pengunjung dapat membeli barangan segar untuk dibawa pulang dan tidak perlu ke pasar pagi.
"Di Sepang, daerah kita agak luas, jadi jika ada permintaan untuk mengadakan program Selangor Agro Market di kawasan lain, kita bersedia untuk memberi kerjasama.
"Jadi bagi pihak MPSepang, kita sentiasa menggalakkan aktiviti ekonomi dalam sektor pertanian kerana kita faham ia akan membantu jana pendapatan kepada mereka," katanya.