NILAI - Perolehan eksport coklat di Malaysia meningkat sebanyak 11 peratus iaitu RM650 juta dari tempoh Januari hingga Ogos lalu berbanding RM585.6 juta tempoh sama tahun lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, produk coklat keluaran negara ini mula mendapat permintaan di luar negara terutama di China, India, Indonesia dan Korea.
"Ketika ini, pasaran global coklat bernilai RM120 bilion tetapi Malaysia hanya mampu mengeluarkan RM7 bilion produk semi koko manakala bagi produk coklat siap diproses adalah RM650 juta.
"Banyak lagi potensi pasaran koko boleh dimanfaatkan dan saya menyeru Lembaga Koko Malaysia (LKM) untuk memfokuskan kepada produk yang boleh dikomersialkan dan dijual di luar negara sekali gus memberikan pendapatan kepada negara," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Inovasi dan Teknologi Koko, LKM di sini pada Sabtu.
Menurutnya, coklat jenama Beryl's merupakan produk buatan Malaysia yang terkenal dan berada pada kedudukan pertama dengan pasaran sebanyak RM720 juta setahun.
Ujarnya, terdapat produk baharu dikenali sebagai Tlaroyale yang masih dalam peringkat kajian namun rasanya setanding dengan coklat keluaran antarabangsa.
"Coklat keluaran negara kita berkualiti dan setanding coklat luar negara cuma kekurangan dari segi pasaran.
"Jadi, kita akan lihat bagaimana untuk tingkatkan pasaran coklat kita terutama dari sudut promosi," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan kemasukan pekerja asing dalam sektor perladangan kelapa sawit, Zuraida berkata, sebanyak 5,000 pekerja asing dari Indonesia akan masuk secara berperingkat dijangka bermula 15 November ini.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan ke Indonesia pada waktu terdekat untuk bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jikowi bagi menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) berkaitan pekerja asing bagi sektor perladangan ke Malaysia," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan terpaksa membawa masuk seramai 32,000 pekerja asing di sektor perladangan selepas rakyat tempatan tidak berminat untuk mengisi kekosongan kerja dalam sektor tersebut.