DUNIA semakin moden. Pemikiran ibu-ibu zaman sekarang juga berbeza. Ada yang masih berpegang kepada cara tradisional, namun lebih ramai yang mengendahkannya.
Apabila menyebut tentang proses berpantang, kebanyakan wanita ada pendirian mereka sendiri. Jika mereka dibesarkan dalam keluarga yang masih berat soal adat, barangkali pemilihan mereka terarah kepada cara lama.
Sebenarnya, apa kepentingan berpantang selepas melahirkan anak? Yang pasti, jawapan tunggalnya ialah mahu memastikan tubuh badan termasuk emosi pulih selepas membawa satu nyawa tambahan dalam diri selama lebih kurang 9 bulan lamanya.
Lazimnya, ibu yang habis bersalin, tubuh badan secara automatik menjadi lemah. Berlaku perubahan hormon dan pada masa sama amat mudah dijangkiti kuman. Berdasarkan cara lama, proses berpantang mengambil masa dalam lingkungan 42 hingga 100 hari. Memang lama. Jangka masa yang panjang ini dikatakan satu proses untuk seseorang wanita kembali ke bentuk asal badan.
Dalam satu penulisan menulis, jika pendekatan tradisional menjadi pilihan, tekanan perasaan yang dialami sebelum ini dapat dikurangkan segera selain berupaya memperbetulkan peredaran darah, mengurangkan angin dan sakit kepala. Satu manfaat yang paling signifikan ialah untuk wanita terkena 'angin meroyan' dan menstabilkan emosi.
Bagaimana pula jika individu memilih berpantang secara moden? Ada yang kata, ia lebih mudah dan tidak rigid. Sehubungan itu, WOW Femina mewawancara bidan dan pakar hospital untuk berbincang isu ini.
Mak bidan
Menjawab persoalan itu, Datin Zainab Saad yang merupakan Pengasas Elzadra ada jawapannya. Zainab adalah salah seorang individu yang bertanggungjawab mengajar bengkel Membelai Diri secara tradisional, kepada wanita ingin membuatnya sendiri di rumah atau untuk menjana pendapat sampingan.
"Amalan berpantang secara tradisional ini amat penting walaupun ibu-ibu muda kebanyakannya tidak percaya kepada amalan tradisional ini," katanya. Wanita ini mengatakan, dalam berpantang, bab mengurut sangat penting.
Seorang yang sangat menghormati warisan peninggalan nenek moyang, Zainab dengan tegas berkata:"Amalan datuk nenek ini jangan kita tidak percaya. Begitu juga dengan amalan mandi herba dan bertangas yang dibuat selepas darah kering.
"Ia amalan orang tua dahulu untuk memanaskan badan dan mengeluarkan peluh. Amalan tradisional ini pun sudah popularkan di spa yang mana mereka memperkenalkan konsep mandi sauna."
Begitu juga dengan amalan memakai bengkung. Jelas Zainab, ia bertujuan untuk mengecilkan perut dan merampingkan pinggang. Kini, bengkung sudah 'dimodenkan' dengan dipanggil korset.
"Semua itu (amalan tradisional) untuk ibu berpantang. Adakah ia tidak penting diamalkan setelah ia telah ditransformasikan menjadi alat yang lebih moden (merujuk bengkung)? ujar wanita ini.
Adakah amalan berpantang boleh dikategorikan sebagai adat? Jawabnya:"Ia bukan dikatakan adat tetapi amalan orang tua zaman dulu yang diperturunkan dan diamalkan sehingga hari ini. Perkara ini seharusnya diketahui oleh generasi akan datang."
Bahan semula jadi
Menyentuh soal bahan yang digunakan ketika berpantang, Zainab berkata, ia semuanya menggunakan bahan semula jadi sahaja. Antaranya ialah herba, serai wangi, halia, daun pandan, mengkudu, daun sirih dan daun lempoyang.
"Itu semua membantu melancarkan peredaran darah, kembalikan mood dan membuang angin," jelasnya. Amalan bertungku menggunakan batu sungai digunakan untuk meredakan urat yang mengembang selepas bersalin dan menghalang angin mudah masuk badan. Sementara itu, amalan tapel pada perut pula melibatkan campuran kapur, perahan limau bagi mengempiskan perut dan membakar lemak.
Manjakani dan daun sireh pula khas untuk proses bertangas iaitu proses menghilangkan masalah keputihan, nyahkan bau kurang menyenangkan dan mengetatkan rahim dan vagina. Apabila semuanya daripada bahan semula jadi, keberkesanan proses ini akhirnya bergantung kepada ibu yang mengamalkanya.
"Amalan tradisional ini memerlukan masa dan rutin yang panjang untuk nampak kesannya. Bagi ibu yang tidak serius, kesannya tidak akan nampak," katanya.
Ubah sikap
Zainab menegur ibu muda zaman sekarang yang tidak suka berpantang dengan cara tradisional.
"Alasannya kerana ia mengambil masa yang lama, jadi lebih baik pakai cara moden, kata mereka.
"Jika pilih cara ini (moden), dalam tempoh sebulan selepas melahirkan bayi, mereka tidak buat apa-apa pun. Tunggu betul-betul sihat untuk bersenam.
"Dua bulan selepas itu mereka membuat tarian zumba pula. Itu tidak sepatutnya berlaku kerana untuk rahim betul-betul sihat mengambil masa setahun," nasihatnya. Zainab memberi pandangan peribadinya mengenai pengambilan suplemen.
"Sebenarnya, ibu-ibu ini tidak tahu keberkesanan dan kandungannya. Sedangkan orang dahulu mereka mengambil sebiji telur ayam kampung yang dicampur dengan kunyit dan halia atau mengantikan telur dengan madu sebagai suplemen untuk mengembalikan sumber tenaga,” ujar Zainab lagi.
Moden
WOW Femina kemudia menemui Perunding Pakar Obstetrik dan Pakar Sakit Puan, Dr. Norleen Mohd Salleh untuk berbincang isu sama. Dr Norleen berkata, tidak salah memilih berpantang secara tradisional kerana ada yang menghasilkan kesan positif.
Beliau sendiri mengakui bahawa berpantang cara kuno sudah dipraktikkan sejak turun-temurun termasuk ada yang mengikut adat kumpulan etnik tertentu seperti Jawa atau Minang.
"Kebanyakannya tiada latar belakang kajian saintifik serta bukti berasaskan perubatan medical based evidence. Namun, ada nilai-nilai tersendiri yang menjadi ikutan dan amalan. Dengan gabungan perubatan moden dan traditional, hasilnya amat unik sekali.
"Saya sendiri tidak menghalang pesakit mengamalkan pantang sebegini. Bagaimanapun, pastikan dapatkan sesi kaunseling dan pemantauan petugas selepas bersalin/postnatal care bertauliah.
"Itu lebih baik bagi mengelak perkara tidak diingini di kemudian hari,” katanya sambil menjelaskan bahawa berpantang secara tradisional telah diiktiraf Kementerian Kesihatan Malaysia. Apa yang dimaksudkan dengan berpantang secara moden? Kata Norleen, ia lebih terarah kepada soal penjagaan pemakanan iaitu mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat termasuk minum air secukupnya.
Selain itu, ia turut melibatkan pengambilan suplemen dan ubat tambah darah.
"Berpantang secara moden ini juga mengambil kira penjagaan luka seperti mencuci dan meletak antiseptik dan antibiotik bagi mengelak jangkitan.
"Bukan itu sahaja, ibu-ibu juga diminta banyak bergerak dan membuat aktiviti ringan untuk pergerakkan otot.
"Ibu-ibu juga dibantu dari segi fizikal dan emosi supaya mereka tidak meroyan. Antara ciri lain yang dititik beratkan ialah pemantauan penyusuan dan berapa banyak darah nifas yang keluar," terang beliau.
Benarkah selepas bersalin, seseorang ibu boleh menjamah apa juga makanan?
Menjawab persoalan itu Dr Norleen berkata, tidak ada bukti yang mengatakan sesuatu makanan itu ‘berangin’, ‘sejuk’ dan sebagainya.
"Jadi, saya sarankan ibu-ibu mengambilnya dalam skop sederhana jika bimbang akan berlaku kemudaratan," katanya.
Soal jamu dan herba pula, pakar ini berkata, dirinya percaya ada unsur-unsur perawatan yang tersendiri.
"Cuma saya berharap ibu sedar sama ada ia akan reaksi pada bayi dan susuan ibu dan impak pada jaundice dan tekanan darah. Saya juga berharap ibu-ibu tidak meninggalkan suplemen dan ubat tambah darah bagi membantu proses baik pulih,” katanya yang memberitahu, amalan bertungku, pilis, urusan dan mandi wap, bengkung tidak salah untuk dibuat jika ia tidak mengganggu proses perawatan moden.
Kesimpulannya, Dr Norleen berkata:"Setiap ibu perlu bersederhana dalam segala hal bagi mengelak perkara tidak diingini."