KOTA BHARU -UMNO Bahagian Ketereh memperkenalkan teknik kempen baharu yang dikenali sebagai Maklumat War Room (Mawar) dalam usaha menawan hati para pengundi Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang terletak di Alor Gajah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 20 November depan.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, Mawar versi pandemik Covid-19 itu akan menggunakan teknologi kempen yang mesejnya sampai secara terus kepada pengundi tanpa bersemuka secara fizikal.
"Hasrat kita ialah untuk mengurangkan kempen secara terbuka dengan tujuan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
"Perkara ini saya tidak boleh umumkan lagi kaedah yang akan digunapakai itu dan kita sedang membuat rumusan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Ketereh di sini pada Sabtu.
Menurutnya, Ketereh akan hantar kontijen yang besar ke Melaka iaitu melibatkan dua kumpulan berasingan untuk berkempen.
Bagaimanapun jumlah kekuatan yang akan dihantar itu masih belum dapat diumumkan.
"Saya sendiri akan turun ke lapangan untuk membantu sedaya mungkin jentera UMNO Melaka dan kawasan yang telah diamanahkan kepada UMNO Kelantan.
"Ketereh akan memastikan kemenangan berpihak kepada UMNO pada PRN itu nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, UMNO perlu bijak membaca hasrat para pengundi Melaka jika mahu menang pada PRN itu nanti.
Beliau berkata, UMNO perlu tampil sebagai sebuah parti yang sensitif dan responsitif kepada cita rasa para pengundi.
Menurutnya, jika UMNO melakukan perkara sebaliknya atau tidak selari dengan cita rasa pengundi, mereka akan dihukum.