KOTA BHARU - Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mewajibkan semua stesen televisyen (tv) berlesen termasuklah swasta di negara ini mempunyai jurubahasa isyarat bermula sekarang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, golongan orang kelainan upaya (OKU) berhak mendapatkan maklumat seperti manusia normal untuk melihat siaran di saluran yang lain.
Iklan
Iklan
"Sekarang ini penggunaannya (jurubahasa isyarat) diamalkan oleh stesen tertentu khususnya Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Ketereh di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, KKMM telah bersetuju supaya Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melatih pakar-pakar bahasa isyarat yang sesuai dalam merealisasikan hasrat itu.
Beliau berkata, Bernama dengan kerjasama Persatuan Orang Kelainan Upaya akan menempatkan jurubahasa isyarat kepada semua stesen tv di Malaysia.
Annuar berkata, pengesyoran untuk menempatkan jurubahasa isyarat itu telah dikemukakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Ras Adiba Radzi.
"Pengesyoran ini amat baik untuk OKU," katanya.