KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan seorang wanita warga asing yang diberi jolokan 'Karen' oleh warganet kerana keengganannya memakai pelitup muka di tempat awam.
Satu klip video berdurasi 20 saat turut tular menerusi media sosial memaparkan wanita yang dipercayai berusia 51 tahun itu bertikam lidah ketika ditahan daripada memasuki sebuah pasar raya oleh pengawal keselamatan di Bangsar.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, klip video bertajuk 'Spotted the Karen making another scene at BSC #KARENDIOR #KARENKLCC' itu dikesan sekitar jam 11.30 malam Jumaat.
"Hasil penelitian ke atas video tular itu mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular ini kerana bimbang mendatangkan kegusaran awam," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu supaya tampil ke balai berdekatan untuk membantu siasatan.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21a Akta 342 Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB) 2021 kerana melanggar SOP," katanya.